Dengar playlist penuh di sini
.
“Cili padi… cili padi… kecil-kecil cili padi…”
Aduh.
Baru baca lirik itu, terus lagu masuk kepala, kan?
Itulah masalahnya bila sebut Cili Padi. Belum sempat kita fikir jalan cerita, memori lama dah mula muncul satu-satu.
Dulu bila lagu tema itu berkumandang, mesti ada yang terus duduk depan TV.
Rentaknya rancak, ceria dan sangat-sangat 90-an. Siap dengan bunyi synth yang laju, sambil montaj budak-budak Cili Padi berlari dan sibuk dengan macam-macam aktiviti.
Macam satu pengumuman:
“Okey, geng ni nak buat hal lagi!”
Dan bila fikir pasal geng ini, siapa yang muncul dulu?
Tam.
Salim yang dilakonkan oleh Tam Suhaimi tu memang nampak macam ketua tidak rasmi kumpulan. Lebih matang, berani dan selalunya macam orang yang kena fikir jalan keluar apabila kawan-kawan lain sudah mula terjebak dalam sesuatu masalah.
Tapi kalau Salim nampak serius, mesti ada pula seorang yang buat suasana jadi lebih kelam-kabut.
Syafiq!
Haa, ini satu lagi watak yang tak boleh kita lupa.
Syafiq, lakonan Nik Faiz Nik Fadzil, memang ada perangai tersendiri. Jenis agak kelam-kabut, kuat makan dan selalu jadi bahan usikan kawan-kawan.
Tapi itulah yang buat dia seronok ditonton.
Dalam geng, mesti ada seorang macam Syafiq.
Yang bila semua orang tengah fikir pasal misteri, dia boleh fikir pasal makanan dulu.
Kemudian kita sampai kepada watak yang rasanya paling senang buat orang tersenyum bila teringat balik.
Lili!
Anne Ngasri sebagai Lili memang cukup sinonim dengan perkataan manja.
Manja, becok, kadang-kadang penakut dan dengan mimik muka yang memang boleh buat kita geram-geram sayang.
Kalau ada yang membesar dengan Cili Padi, cuba bayangkan balik gaya Lili.
Nampak?
Itulah dia.
Kemudian ada Maria, lakonan Melissa Saila.
Maria pula lebih matang. Macam kakak dalam kumpulan yang boleh dijadikan tempat rujukan apabila budak-budak lain mula buntu.
Jadi kalau difikirkan balik, kumpulan Cili Padi ni memang cukup lengkap.
Ada Salim yang memimpin.
Ada Syafiq yang menceriakan suasana.
Ada Lili yang manja.
Ada Maria yang lebih matang.
Dan di luar kumpulan itu pula ada seorang guru yang perlu tahan sabar melayan mereka.
Cikgu Jaafar!
Jaafar Onn sebagai Cikgu Jaafar pun antara wajah yang terus menghidupkan semula memori drama ini.
Cikgu yang penyayang tetapi tegas, berdepan pula dengan budak-budak yang aktifnya bukan main.
Entah berapa kali agaknya Cikgu Jaafar kena tarik nafas panjang dalam drama tu.
Kita mungkin sudah tak ingat pun cerita setiap episod.
Kita tak ingat misteri apa yang mereka selesaikan.
Tak ingat siapa buat apa dalam episod tertentu.
Tapi kita ingat sangat watak-wataknya.
So…mana satu watak favourite anda?

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.