Dengar playlist penuh di sini
.

Bila musim peperiksaan tiba, ramai ibu bapa mula panik. Lagi-lagi bila tengok anak masih belum yakin atau nampak santai. Akhirnya, sehari sebelum exam pun masih dipaksa buat latihan bertimbun, membaca tanpa henti dan ulang kaji sampai lewat malam. Kononnya itu tanda study hard.
Hakikatnya, itu antara kesalahan terbesar yang ramai tak sedar.
Otak manusia bukan mesin yang boleh dipaksa bekerja tanpa henti. Lagi-lagi kanak-kanak dan remaja yang mental mereka mudah penat. Bila sehari sebelum peperiksaan anak dipenuhi dengan terlalu banyak latihan dan bacaan, apa yang berlaku sebenarnya ialah otak mula drained. Penat, tepu dan hilang fokus.
Akibatnya, masa masuk dewan peperiksaan, anak jadi letih, cemas dan susah nak ingat apa yang dipelajari.
Sebab itu, beberapa hari sebelum exam malah seminggu sebelumnya ibu bapa perlu mula ubah pendekatan. Bukan lagi study hard tetapi study smart.
Pada fasa ini, fokus utama bukan lagi menambah terlalu banyak input baru ke dalam otak. Sebaliknya, bantu anak buat proses recall concept atau mengingat semula apa yang sebenarnya sudah dipelajari selama ini.
Ramai tak sedar, kebanyakan ilmu itu sebenarnya sudah ada dalam memori anak. Cuma cabarannya ialah bagaimana otak menyusun semula maklumat tersebut ketika diperlukan. Sebab itu teknik recall sangat penting.
Daripada suruh anak membaca buku berulang kali, cuba tukar cara belajar. Tutup buku dan mula tanya soalan secara santai. Minta anak terangkan semula konsep yang dipelajari. Bagi teka-teki ringkas berkaitan topik. Ambil nota dan baca satu soalan, kemudian lihat sama ada anak masih boleh mengingatinya.
Kalau mereka lupa, jangan terus marah atau panik. Bantu beri jawapan dan biarkan otak mereka trigger semula memori tersebut. Dari situ, proses recall berlaku secara semula jadi.
Kaedah ini sebenarnya jauh lebih berkesan berbanding membaca berjam-jam tanpa henti. Bila anak berjaya mengingat kembali sesuatu maklumat sendiri, otak akan lebih mudah menyimpannya dalam ingatan jangka panjang.
Selain itu, sehari sebelum exam juga penting untuk menjaga emosi anak. Jangan terlalu menekan atau menakut-nakutkan mereka dengan ayat seperti “kalau gagal macam mana?” atau “kau dah cukup study ke belum?”. Tekanan yang berlebihan hanya membuatkan otak semakin sukar fokus.
Apa yang anak perlukan pada waktu ini ialah ketenangan, keyakinan dan sokongan.
Biarkan mereka tidur secukupnya. Pastikan makan dan rehat terjaga. Kadang-kadang otak yang segar lebih membantu daripada tambahan lima muka surat nota pada malam terakhir.
Peperiksaan bukan sekadar menguji sejauh mana anak belajar tetapi juga sejauh mana mereka mampu mengurus tekanan dan menggunakan semula ilmu yang sudah dipelajari.
Jadi, sebelum exam nanti, berhenti “menyumbat” otak anak sampai tepu. Bantu mereka belajar dengan lebih bijak, bukan sekadar lebih lama. Kerana anak yang tenang dan mampu recall dengan baik selalunya lebih cemerlang daripada anak yang belajar tanpa henti tetapi mentalnya sudah terlalu penat.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.