Dengar playlist penuh di sini
.

Dalam dunia serba digital hari ini, aplikasi WhatsApp sudah menjadi antara medium utama komunikasi harian. Sama ada urusan kerja, keluarga, atau kawan-kawan, semuanya berlaku di hujung jari. Namun, satu fenomena yang semakin biasa berlaku dan secara senyap boleh melukakan hati adalah sikap selektif dalam menjawab mesej.
Situasinya mudah difahami. Kita hantar mesej, sudah “read”, tetapi tidak dibalas. Tunggu punya tunggu, masih senyap. Tapi dalam masa yang sama, dalam group lain, orang yang sama.. boleh reply laju, panjang lebar, malah “on point” pula jawapannya. Seolah-olah sangat responsif, sangat prihatin, sangat ada masa.
Di sinilah mula timbul rasa kecil hati yang sukar dijelaskan.
Bukan semestinya mesej itu penting atau mendesak. Tapi apabila kita melihat seseorang mampu memberi perhatian kepada orang lain, namun mesej kita dibiarkan tanpa jawapan, ia memberi kesan emosi yang halus tetapi dalam. Kita mula tertanya-tanya adakah mesej kita tidak penting? Adakah kita tidak cukup “layak” untuk dibalas?
Hakikatnya, ini bukan isu teknikal. Ini isu persepsi dan perasaan.
Sikap selektif dalam membalas mesej mungkin berlaku tanpa niat buruk. Ada yang terlalu sibuk, ada yang terlepas pandang dan ada juga yang memang hanya fokus pada perbualan tertentu. Namun dari sudut penerima mesej, ia tetap terasa seperti diabaikan.
Dalam masa yang sama, ada juga situasi di mana seseorang lebih menjaga cara berkomunikasi dengan orang luar berbanding orang terdekat. Dengan orang luar, respon laju, ayat teratur dan nampak sangat prihatin kerana di situlah reputasi ingin dijaga. Tetapi dengan keluarga atau kenalan rapat, mereka rasa tidak perlu kerana sudah “biasa” dan saling memahami. Tanpa sedar, sikap ini boleh membuatkan orang terdekat terasa kurang dihargai.
Lebih menyedihkan apabila perbezaan itu terlalu jelas. Dengan orang lain, respons cepat dan mesra. Dengan kita, senyap tanpa jawapan. Lama-kelamaan, hubungan boleh jadi renggang tanpa disedari, hanya kerana komunikasi yang tidak seimbang.
Fenomena ini menunjukkan betapa besar impak komunikasi kecil dalam kehidupan seharian. Apa yang kita anggap remeh seperti membalas mesej sebenarnya boleh memberi kesan kepada emosi orang lain.
Mungkin sudah tiba masanya kita lebih peka. Jika tidak mampu balas segera, sekurang-kurangnya beri penjelasan ringkas. Jika mesej tertinggal, akui dan jawab bila berkesempatan. Kerana dalam dunia yang terlalu cepat ini, sedikit perhatian pun sudah cukup bermakna.
Aplikasi seperti WhatsApp sepatutnya memudahkan komunikasi bukan menjadi punca salah faham. Namun akhirnya, ia tetap kembali kepada adab kita dalam berkomunikasi.
Kadang-kadang, bukan isi mesej yang paling menyakitkan tetapi rasa diabaikan tanpa sebab yang jelas.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.