Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengapasaja_master

Tahu Tak Seniman Agung P. Ramlee Pernah Berkahwin Tiga Kali?

Ada satu lagi cerita yang tak kurang menariknya, iaitu kisah cinta beliau dengan tiga orang wanita yang pernah menjadi isterinya.

Kalau sebut P. Ramlee, semua orang ingat filem klasik, lagu-lagu evergreen, dan gelaran Seniman Agung yang melekat sampai sekarang. Tapi di sebalik kerjaya gemilang itu, ada satu lagi cerita yang tak kurang menariknya, iaitu kisah cinta beliau dengan tiga orang wanita yang pernah menjadi isterinya. Setiap perkahwinan membawa cerita sendiri, dan setiap wanita ini menyintai beliau atas sebab yang berbeza.

Isteri pertama P. Ramlee ialah Junaidah Daeng Haris. Mereka berkahwin pada tahun 1950 dan dikurniakan dua orang anak, Mohamad Nasir dan Arfan. Junaidah menyintai P. Ramlee sewaktu beliau masih belum ternama. Sayangnya, perkahwinan ini tidak bertahan lama. Mereka bercerai pada tahun 1954, sebahagiannya kerana P. Ramlee lebih menumpukan tenaga pada kerjaya seninya. Walaupun begitu, hubungan mereka kekal baik selepas berpisah. Junaidah sendiri mengaku tak dapat melupakan betapa indahnya percintaan mereka semasa muda dulu, dan anak mereka, Nasir, terus jadi ikatan yang tak pernah putus antara kedua-duanya.

Kisah cinta kedua P. Ramlee pula lebih dramatik. Isteri keduanya, Noorizan Mohd Noor, sebenarnya adalah bekas isteri kepada Sultan Perak ke-32, Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah , menjadikan beliau bekas permaisuri Perak. Mereka berkahwin pada 6 Februari 1955, sebuah perkahwinan yang menggemparkan kerana Norizan sanggup meninggalkan kehidupan istana demi cinta. Tapi cinta sahaja tak cukup untuk mengekalkan sesebuah rumah tangga. Norizan sendiri mengakui rumah tangganya mula bergoncang kerana rasa cemburu ditinggalkan keseorangan di rumah sementara suaminya sentiasa rapat dengan pelakon-pelakon wanita dalam filem. Perkahwinan mereka akhirnya berakhir pada 1961. Namun begitu, selepas 12 tahun berpisah, hubungan mereka kekal baik sehingga P. Ramlee menawarkan Norizan watak dalam filem Laksamana Do Re Mi.

Perkahwinan ketiga P. Ramlee-lah yang paling dikenang ramai. Beliau berkahwin dengan Salmah Ismail, atau lebih dikenali sebagai Saloma, pada 21 November 1961, dan jodoh mereka kekal sehingga ke akhir hayat. Perkahwinan ini bertahan selama 12 tahun, menjadikannya rumah tangga paling lama buat kedua-duanya. Saloma sendiri pernah berkongsi, perkahwinan mereka dilafazkan dengan janji bahawa mereka takkan bercerai melainkan dipisahkan oleh kematian. Cinta Saloma kepada P. Ramlee tidak pernah pudar walaupun selepas pemergian beliau. Saloma pernah berkata, sampai ke akhir hayatnya pun dia tidak akan pernah bertemu lagi suami seperti P. Ramlee.

Tiga wanita, tiga cerita cinta yang berbeza tapi semuanya menunjukkan satu perkara, di sebalik gelaran Seniman Agung, P. Ramlee tetap manusia biasa yang mencari cinta sejati, jatuh, bangun, dan akhirnya menemui kebahagiaan bersama Saloma sehingga ke penghujung hayatnya.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.