Komuniti Digital Dewasa
00%

Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengapasaja_master

Tak Ada Istilah Mulut Jahat Hati Baik, Something Wrong La Tu

Orang yang hatinya tenang, kata-katanya juga tenang. Orang yang hatinya bersih, bahasanya juga bersih.

Ada satu ayat yang sangat popular yang kita selalu dengar, “Dia tu mulut je jahat, hati sebenarnya baik.” Ayat ini sering dijadikan pelindung, lesen, malah alasan untuk menormalisasikan kata-kata yang menyakitkan. Seolah-olah mulut dan hati itu dua entiti berasingan, hidup dalam tubuh yang sama tetapi tidak saling berkait. Hakikatnya, tanggapan ini bukan sahaja silap, ia menipu diri sendiri.

Tidak wujud istilah mulut jahat tapi hati baik. Mulut dan hati sangat berkait rapat. Apa yang keluar dari mulut, itulah pantulan apa yang berada dalam hati dan fikiran kita. Kata-kata tidak muncul secara rawak. Ia lahir daripada cara kita menilai orang, cara kita berfikir, dan cara kita memandang dunia. Jika hati benar-benar baik, bersih dan berlapang dada, lidah tidak akan ringan untuk melukakan hati yang lain.

Orang yang hatinya baik tidak sanggup melaser orang lain , sama ada ahli keluarga, kawan rapat, kenalan jauh, apatah lagi orang yang langsung tidak dikenali. Hati yang baik akan menahan diri sebelum bercakap. Ia akan bertanya, “Perlu ke aku cakap macam ni?” atau “Kalau aku di tempat dia, sakit tak?” Sebab empati itu datang daripada hati, dan empati itu yang menapis kata-kata kita sebelum keluar dari mulut.

Masalahnya, kita terlalu biasa memaafkan mulut jahat atas nama “perangai”. Kita kata, “Biasalah dia macam tu,” atau “Jangan ambil hati, dia memang mulut lepas.” Lama-lama, yang jadi mangsa dipaksa memahami, manakala yang menyakiti terus bebas tanpa refleksi diri. Ini bukan soal sensitif atau tak kuat mental. Ini soal adab dan tanggungjawab terhadap kata-kata sendiri.

Mulut yang suka menghakimi, memperlekeh, merendahkan atau menyindir bukan sekadar “terlebih jujur”. Ia tanda hati yang belum dibersihkan. Bila seseorang mudah judge orang lain, mempersoalkan pilihan hidup orang, atau seronok menjatuhkan maruah orang dengan alasan kononnya “aku cakap benar”, “aku nak betulkan apa yang salah”, “dia pendosa, aku nak tegur”, itu angkuh dan merasa diri lebih baik daripada semua.

Ingat, orang yang hatinya tenang, kata-katanya juga tenang. Orang yang hatinya bersih, bahasanya juga bersih. Sesederhana itu.

Kita perlu berhenti memisahkan mulut dan hati seolah-olah mulut boleh berbuat dosa sendirian tanpa melibatkan hati. Jika kata-kata kita sering menyakiti, itu isyarat untuk melihat ke dalam, bukan terus mempertahankan diri. Perbaiki hati, dan mulut akan ikut berubah. Bukan sebaliknya.

Jadi lain kali bila terdengar ayat “mulut jahat tapi hati baik”, mungkin sudah tiba masa kita betulkan naratif itu. Hati yang benar-benar baik tidak akan membiarkan mulut menjadi senjata. Kerana apa yang kita cakap, itulah siapa kita sebenarnya.

Dalam kehidupan harian, di rumah, ada yang rasa bebas meninggikan suara, memperkecilkan adik-beradik, atau melukakan pasangan dengan alasan “gurau”. Di tempat kerja pula, ada yang gemar menyindir, merendahkan idea orang lain dalam mesyuarat, kemudian berbisik, “Aku ni direct je, bukan niat jahat.” Di media sosial, lebih parah , jari lebih laju daripada akal, komen ditulis tanpa empati, orang dihukum hanya melalui satu gambar atau satu ayat. Semua ini lahir daripada hati yang tidak dilatih untuk berlapang dada. Kalau hati betul-betul baik, kita akan lebih berhati-hati, bukan lebih berani menyakitkan.

Hakikatnya, “mulut jahat tapi hati baik” hanyalah ayat untuk menutup kelemahan diri. Ia bukan sifat, ia alasan. Alasan untuk tidak berubah, tidak meminta maaf, dan tidak bertanggungjawab atas luka yang ditinggalkan. Hati yang baik tidak perlukan pembelaan, kerana ia akan terpancar melalui kata-kata yang dijaga. Jika mulut kita sering melukai, jangan sibuk mempertahankan kononnya hati kita bersih. Bersihkan dulu hati itu , kerana mulut tidak pernah berbohong tentang apa yang sebenarnya ada di dalam hati kita. After all, siapa kita nak jadi hakim dunia, dengan mata menjeling tajam tanda benci atau tak suka sambil mencela, fuhh seram.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.