Dengar playlist penuh di sini
.
Ada satu thread oleh seorang wanita baru-baru ini menceritakan kisah aunty dia yang berumur 70 tahun, tidak pernah berkahwin, dan kini menyesal kerana tidak mempunyai anak. Thread itu kemudiannya dijadikan hujah bahawa wanita berusia tidak sepatutnya letak terlalu banyak syarat pada pasangan. Mesejnya pada wanita dah lanjut usia dan tak kahwin-kahwin lagi supaya jangan terlalu memilih, nanti menyesal macam aunty tu.
Tapi ada hujah yang ramai orang terlepas pandang. Pertama sekali, kalau logik “jangan terlalu memilih sebab takut tua sorang diri” ini diikut, maksudnya wanita digalakkan kahwin dengan sesiapa sahaja semata-mata untuk ada teman di hari tua. Ini adalah salah anggap yang sudah lama berakar dalam masyarakat kita, ramai menganggap bahawa tujuan utama kahwin adalah supaya ada orang jaga kita bila dah tua. Hakikatnya, kahwin bukan insurans hari tua untuk kita. Tiada sesiapa pun yang boleh guarantee anak yang dilahirkan dalam perkahwinan itu akan jaga ibu bapa mereka kelak. Ramai yang ada anak tapi tetap keseorangan di usia tua. Ramai yang berkahwin tapi pasangan pergi dahulu. Kalau asas perkahwinan itu hanya takut sunyi, anda salah.
Kedua, soal umur dan anak. Kalau seseorang wanita berkahwin pada usia 40 tahun, anaknya mungkin masih di sekolah rendah ketika dia mencecah 50-an. Adakah itu realistik dari segi fizikal dan kewangan? Adakah seorang wanita lanjut usia mampu kejar anak sekolah rendah, hadiri hari sukan, uruskan keperluan harian mereka dengan tenaga yang sama seperti wanita muda? Ini bukan soal merendahkan wanita berusia, ini soal fakta biologi dan tenaga yang perlu diambil kira.
Ketiga, dan ini yang paling penting, konteks kewangan dan pendidikan seseorang wanita itu sangat menentukan sama ada “high expectation” itu relevan atau tidak. Kalau seorang wanita tidak berpendidikan tinggi, tidak mempunyai pendapatan sendiri, dan bergantung kepada pasangan untuk survival, mungkin ada kompromi tertentu yang perlu dibuat atas faktor keperluan. Tapi kalau seorang wanita mempunyai kerjaya, pendapatan sendiri, kestabilan hidup yang dia bina dengan titik peluh sendiri, dia berhak sepenuhnya untuk letak standard yang tinggi. Dia tidak perlu kawen kerana perlukan orang tanggung dia, tapi dia kahwin kerana mahu teman hidup yang betul-betul selari dengan nilai dan kehidupannya.
Daripada hidup aman tanpa masalah, kenapa kita nak galakkan wanita cari masalah sendiri dengan kahwin tangkap muat semata-mata sebab dah berusia? Kahwin dengan orang yang yang salah jauh lebih memenatkan daripada hidup bersendirian dengan aman. Jadi tak sepatutnya sesetengah pihak menilai wanita berusia yang tidak berkahwin kerana terlalu memilih, dan mendesak mereka untuk tangkap muat sahaja asalkan kahwin, sedangkan mereka boleh pilih kehidupan yang lebih baik.
Walaubagaimanapun, tidak dinafikan memang berkahwin dan mencari pasangan tu tuntutan agama, jika ada tertulis untuk mereka adalah, tapi tu tak bermakna mereka perlu kahwin tangkap muat. Sokonglah mereka walau apa pon keadaannya, bukan menilai.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.