Dengar playlist penuh di sini
.
Ramai orang tunggu hari pencen macam tunggu hari bebas daripada segala tanggungjawab. Tak perlu bangun awal, tak perlu pergi kerja, tak perlu fikir pasal mesyuarat atau nak mengadap bos. Mula-mula memang seronok. Boleh bangun lambat, tengok TV, duduk minum kopi dan layan telefon sampai tengah hari. Tapi kalau rutin selepas pencen cuma duduk, baring dan tengok skrin, badan dan otak pula yang mungkin cepat “pencen”.
Selepas pencen sebenarnya masa yang sangat baik untuk mula bina rutin baru. Tak perlu pun aktiviti yang terlalu berat. Yang penting badan bergerak dan otak terus digunakan. Untuk membantu kekuatan otot dan tulang, aktiviti seperti berjalan kaki, naik turun tangga secara selamat, berkebun, berbasikal ringan atau melakukan senaman kekuatan menggunakan berat badan sendiri boleh dimasukkan dalam rutin mingguan.
Kalau mahu buat latihan kekuatan, tak semestinya kena masuk gym dan angkat besi berat. Duduk dan bangun daripada kerusi berulang kali, melakukan wall push-up atau menggunakan resistance band pun boleh menjadi permulaan. Latihan seperti ini membantu mengekalkan kekuatan otot yang penting untuk aktiviti harian. Bila usia meningkat, otot yang semakin lemah boleh menyebabkan seseorang lebih mudah hilang keseimbangan dan terjatuh.
Tulang pun jangan dilupakan. Aktiviti yang membuatkan badan menampung berat sendiri seperti berjalan, naik tangga dan latihan kekuatan boleh membantu mengekalkan kesihatan tulang. Kalau sudah lama tidak bersenam, mulakan perlahan-lahan dan pilih aktiviti yang sesuai dengan kemampuan serta keadaan badan.
Kemudian jangan lupa otak. Selepas pencen, jangan biarkan otak masuk “mode malas” pula. Membaca buku, belajar memasak resipi baru, bermain permainan yang memerlukan strategi, membuat teka silang kata, belajar bahasa, bermain alat muzik atau menyertai kelas baru boleh memberikan rangsangan mental. Berbual dan bersosial dengan orang lain juga penting kerana kehidupan selepas pencen tidak sepatutnya hanya berlaku antara katil, sofa dan televisyen.
Aktiviti sosial pun boleh dijadikan sebahagian daripada rutin. Sertai komuniti, pergi berjalan dengan kawan, bantu aktiviti masjid atau kawasan kejiranan, berkebun bersama pasangan atau luangkan masa dengan cucu. Ada aktiviti yang nampak sederhana tetapi sebenarnya membuatkan kita terus bergerak, berfikir dan berinteraksi.
Paling penting, jangan anggap pencen bermaksud sudah sampai masa untuk berhenti hidup aktif. Pencen sepatutnya menjadi fasa baru untuk menjaga diri selepas bertahun-tahun bekerja.
Sebab kita bukan mahu hidup lebih lama semata-mata. Kita mahu bila umur semakin meningkat, kita masih mampu bangun sendiri, berjalan sendiri, berfikir dengan baik dan menikmati hidup tanpa bergantung sepenuhnya kepada orang lain.
Jangan sampai pencen daripada kerja, tapi terus pencen daripada kehidupan.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.