Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengretro_master

Zaman mIRC & ICQ: Sembang Sederhana Tapi Masuk Jiwa

Tiada gambar, tiada video, tiada panggilan suara namun perbualan terasa jujur kerana orang dinilai melalui ayat bukan rupa.
Chatting dulu-dulu versi sederhana

Sebelum ‘seen’ menjadi tekanan dan ‘typing…‘ menjadi penentu emosi, kita pernah hidup dalam satu zaman yang lebih sederhana. Zaman bersembang di internet yang tidak memerlukan gambar profil cantik, kamera depan atau tapisan wajah. Cukup dengan nama samaran dan kata-kata. Itulah zaman mIRC, ICQ dan rakan-rakan seperjuangannya.

Bunyi bingit modem, tapi still okay

Dulu, untuk masuk ke dunia chatting, ada ritualnya. Bunyi modem dial-up yang memekakkan telinga, siap berdoa supaya talian tidak putus dan harapan agar tiada siapa angkat telefon rumah. Bila berjaya log masuk, rasa puasnya seperti menawan dunia. Bukan kerana laju tetapi kerana berjaya.

Rindunya mIRC!

Ingat lagi tak mIRC? Satu platform sosial terawal melalui komputer yang membolehkan pengguna berbual melalui teks dalam bilik sembang atau secara peribadi. mIRC menjadi tempat berkumpul orang asing yang akhirnya terasa dekat. Kita masuk channel ikut suka, ikut negeri malah ikut emosi. Ada yang sekadar membaca, ada yang rajin menyampuk, ada yang setia menunggu crush muncul dalam senarai pengguna. Tiada gambar, tiada video, tiada panggilan suara. Namun perbualan terasa jujur kerana orang dinilai melalui ayat bukan rupa.

Nostalgia betul tengok benda alah ni. Interface nampak ‘plain’ tapi layannnn….
Siapa je tak pernah masuk channel ‘kampung’.

ICQ pun rindu juga!

ICQ pula hadir dengan bunyi ikonik “uh-oh” yang masih terngiang di telinga. Setiap notifikasi membawa debar. Siapa yang mesej? Kawan lama atau orang baharu? Kita hafal nombor ICQ sendiri seperti menghafal nombor telefon rumah. Bila ada yang online, rasa dihargai. Bila lama menyepi, kita tertanya-tanya, bukan terus menghakimi.

Selain mIRC dan ICQ, ada juga Yahoo Messenger, MSN Messenger dan forum-forum lama yang menjadi tempat meluah perasaan. Emotikon ringkas , status jujur dan ayat panjang tanpa had aksara. Tiada siapa kejar like, tiada siapa fikir algoritma. Kita berbual kerana mahu berbual bukan untuk ditonton.

Platform sosial sekarang makin advance tapi feel dia…….

Ironinya, hari ini kita boleh berbual melalui video, berkongsi lokasi, menghantar suara dan gambar dalam sekelip mata. Namun semakin banyak pilihan semakin kurang rasa…kan? Perbualan menjadi pantas tetapi cetek. Banyak mesej, sedikit makna.

Zaman chatting dulu mengajar kita erti sabar. Menunggu balasan tanpa tanda biru, memahami senyap tanpa membuat andaian. Mungkin sebab inilah kita rindu. Bukan kerana teknologinya tetapi kerana cara kita berhubung. Zaman bila kata-kata cukup untuk buat kita tersenyum, marah, jatuh hati dan rasa difahami.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.