Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengretro_master

Tom & Jerry: Tiada Dialog Tapi Mata Melekat Di Skrin, Kan?

Sejak tahun 1940, kucing dan tikus ini buat kita gelak tanpa sebab. Tapi pernahkah kita sedar mesej sebenar di sebalik kejar-mengejar itu?

Kalau ada satu animasi yang boleh ditonton oleh datuk nenek, ibu bapa,anak–anak dan cucu dalam masa yang sama di ruang tamu rumah kita, animasi itu adalah Tom and Jerry. Tidak perlukan dialog yang panjang, tidak perlu cerita yang rumit. Cukup dengan Tom si kucing yang selalu gagal dan Jerry si tikus yang selalu menang, dunia terus ketawa dan terhibur selama lebih 80 tahun.

Bermula Dari Sebuah Pertaruhan

Tom and Jerry dilahirkan pada tahun 1940 oleh dua orang animator bernama William Hanna dan Joseph Barbera, di bawah syarikat filem Metro-Goldwyn-Mayer (MGM). Kisahnya bermula apabila pihak MGM mencabar mereka untuk menghasilkan watak animasi baru yang segar dan berbeza. Hasilnya? Sepasang watak yang hampir tidak bercakap langsung tapi masih mampu menyampaikan pelbagai emosi hanya melalui gerak geri dan bunyi.

Episod pertama mereka bertajuk Puss Gets the Boot mendapat sambutan yang luar biasa dari penonton. Tidak lama kemudian, Tom and Jerry menjadi siri animasi paling popular di Amerika, malah turut memenangi tujuh Anugerah Akademi untuk kategori animasi pendek sepanjang tempoh tayangan asal mereka.

Kejar Tapi Tak Pernah Betul-Betul Benci

Inilah rahsia Tom dan Jerry yang ramai tidak sedar. Walaupun Tom sentiasa mengejar Jerry dan Jerry yang sentiasa menyusahkan Tom, ada satu corak yang berulang dalam hampir setiap episod iaitu apabila adanya ancaman dari luar, mereka akan bersatu. Musuh yang sama menjadikan mereka seolah-olah kawan sejati tanpa perlu mengakuinya.

Itulah yang menjadikan hubungan mereka terasa sangat manusiawi. Bukan tentang siapa yang menang atau kalah. Ia tentang dua jiwa yang tidak boleh hidup tanpa antara satu sama lain, walaupun tidak pernah mengakuinya.

Masih Hidup Hingga Hari Ini

Generasi yang membesar dengan Tom and Jerry pada era 80-an dan 90-an kini sudah dewasa. Tapi bila animasi itu muncul semula di skrin, tangan tetap berhenti dari apa sahaja yang sedang dilakukan, dan mata tetap terlekat di skrin. Itulah kuasa nostalgia yang tidak pernah lapuk.

Pada era 2000, Warner Bros meneruskan legasi ini dengan pelbagai siri baharu dan filem adaptasi. Tapi bagi kebanyakan daripada kita, masih belum ada versi yang dapat lawan bunyian kuali yang ‘landing’ di kepala Tom, atau Jerry yang tersenyum puas hati selepas berjaya melarikan diri daripada Tom si kucing. Kenangan itu tetap kekal, sama seperti persahabatan yang tidak pernah rengang oleh antara satu sama yang lain.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.