Dengar playlist penuh di sini
.
Kalau tengok trend sekarang, nama anak dah macam hero dalam novel romantik, ala novel yang kita suka berangan-angan dulu, jatuh cinta dengan lelaki kaya yang sombong, lepastu eh dia jatuh cinta akhirnya, cliche. Sampai mak mak sekarang terpengaruh letak nama anak sampai tiga empat nama baru puas hati. Ada yang siap gabung nama Arab, Inggeris, moden, klasik, semua sekali dalam satu nafas. Bila cikgu panggil nama penuh masa hari orientasi, boleh tahan semput juga nak sebut.
Yang lucunya, bila isi borang rasmi, ruang tak cukup, terpaksa singkatkan dan yang nama belakang kena potong. Ada yang tak muat dalam sistem online sebab “character limit exceeded”. Siapa yang paling penat? Anak tu sendiri. Setiap kali isi peperiksaan, borang sekolah, dokumen rasmi, kena tulis nama penuh yang panjang berjela. Belum kira kalau tulisan tangan jenis sederhana, lagi makan masa.
Persoalannya, kenapa makin ramai parents suka bagi nama panjang?
Antara sebab paling biasa ialah nak bagi maksud yang indah. Setiap perkataan ada makna baik , cahaya, kebijaksanaan, kemuliaan, ketenangan, kemenangan. Bila digabungkan, harapannya anak membesar dengan sifat-sifat tersebut. Ada juga yang nak nampak unik, tak sama dengan orang lain. Zaman sekarang, nama simple macam Ali, Adam, Sara, Aisyah dah dianggap terlalu biasa bagi sesetengah orang.
Ada juga faktor sosial, nama yang panjang dan “bunyi mahal” kadang-kadang dikaitkan dengan status, kelas, atau imej tertentu. Dalam dunia media sosial, nama yang rare lebih mudah tarik perhatian. Secara tak sedar, ada elemen branding dalam pemilihan nama anak.
Sekarang cuba banding dengan parents yang pilih nama satu perkataan sahaja. Biasanya mentalitinya lebih minimalis. Mereka fokus pada kemudahan, kejelasan dan praktikaliti. Nama pendek mudah disebut, mudah diingat, mudah ditulis. Tak perlu ejaan kompleks atau penerangan setiap kali orang salah sebut. Prinsipnya simple, yang penting makna baik dan doa, bukan panjangnya nama.
Dua-dua ada niat yang baik. Cuma bezanya terletak pada pendekatan. Ada parents yang melihat nama sebagai simbol aspirasi besar , lagi panjang, lagi banyak makna yang boleh dimasukkan. Ada pula yang melihat nama sebagai identiti yang perlu praktikal dan mudah dibawa sepanjang hidup.
Kita juga kena fikir dari sudut anak. Nama itu akan dia guna setiap hari, bukan parents. Dia yang akan tulis di kertas peperiksaan, resume kerja, dokumen rasmi, tiket penerbangan, akaun bank. Kalau terlalu panjang dan kompleks, boleh jadi beban yang berulang sepanjang hidup.
Dalam psikologi sosial, pemilihan nama kadang mencerminkan cara ibu bapa melihat dunia. Kalau di bandar-bandar, nama anak lebih simple, kalau di kampung, mungkin nama mereka lebih kompleks.
Apa pun pilihannya, mungkin yang paling penting bukan panjang atau pendek, tapi makna dan kemudahan. Nama yang indah tak semestinya perlu empat perkataan. Dan nama yang satu perkataan pun tetap boleh penuh doa dan harapan.
Nama merupakan identiti yang anak akan bawa sampai tua. Jadi sebelum terlalu ghairah nak jadikan anak “hero novel”, mungkin boleh fikir dulu, nanti anak aku guna nama ni senang tak untuk dia?

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.