Dengar playlist penuh di sini
.

Bagi ramai yang membesar sekitar era 80-an dan 90-an, The Gods Must Be Crazy pasti mengimbau kenangan manis.
Tak perlu pun dengar tajuk penuh.
Cukup nampak seorang lelaki kecil berlari di tengah padang pasir sambil membawa sebotol Coca-Cola, kita dah tahu…
“Eh, Xi!”
Watak Xi memang lain macam.
Dia bukan hero kacak. Bukan juga jenis hero yang masuk scene terus ada muzik dramatik.
Dia cuma seorang lelaki yang hidup dalam dunia yang sangat berbeza daripada kita dan tiba-tiba terpaksa berdepan dengan benda-benda pelik yang kita anggap biasa.
Paling tak boleh lupa tentulah botol Coca-Cola itu.
Hari ini, botol Coke kita boleh jumpa di mana-mana. Tetapi dalam dunia Xi, sebotol kaca yang jatuh dari langit itu dianggap sesuatu yang sangat luar biasa.
Masa kecil dulu, kita ketawa melihat Xi cuba memahami manusia moden. Kita ketawa tengok dia berdepan dengan kereta, senjata dan macam-macam benda yang asing baginya.
Dan siapa boleh lupa babak Xi memandu Jeep yang hilang kawalan?
Memang kelakar.
Tetapi bila ditonton semula sekarang, kita mula sedar bahawa watak Xi sebenarnya sangat unik.
Dia melihat dunia dengan cara yang begitu sederhana, sedangkan kita sudah terlalu biasa dengan teknologi, kereta, telefon dan segala macam kemodenan.
Itulah yang menjadikan Xi terasa begitu asli.
Dan lelaki di sebalik watak itu ialah N!xau, seorang lelaki daripada komuniti San di Namibia yang bukan pun pelakon profesional sebelum filem tersebut.
Selepas The Gods Must Be Crazy menjadi fenomena antarabangsa, hidupnya berubah. Tetapi dia tidak terus mengejar kehidupan glamor sebagai selebriti.
Dia masih memilih kehidupan yang sederhana.
Malah, ketika menerima bayaran pertama sekitar AS$300, N!xau dikatakan belum benar-benar memahami nilai wang kertas sehingga wang itu dibiarkan diterbangkan angin. Kemudian, apabila mendapat bayaran lebih besar, dia menggunakan wang tersebut untuk membina rumah yang lebih selesa untuk keluarganya.
N!xau terus muncul dalam beberapa filem selepas itu, termasuk sekuel The Gods Must Be Crazy II dan beberapa filem aksi Hong Kong. Karier lakonannya berakhir sekitar 1994.
Kemudian dia kembali menjalani kehidupan yang lebih dekat dengan keluarga dan kampung halamannya.
Sayangnya, N!xau meninggal dunia pada Julai 2003, selepas keluar mencari kayu di kawasan berhampiran tempat tinggalnya di Namibia. Usianya dianggarkan sekitar 59 tahun.
Mungkin sebab itu, bila kita teringat The Gods Must Be Crazy hari ini, perasaan kita sedikit berbeza.
Dulu kita ketawa.
Sekarang kita mungkin tersenyum sambil terkenang zaman ketika televisyen belum ada Netflix, cerita tak boleh pause dan kalau terlepas babak, memang kena tunggu cerita ulang.
Bila Xi muncul di skrin, kita terus duduk depan televisyen.
“Haa… ni cerita Xi!”
Kita mengenalinya sebagai Xi, lelaki yang membawa botol Coca-Cola merentasi padang pasir.
Tetapi di luar layar, N!xau sudah lama pergi.
Orangnya mungkin sudah tiada, tetapi wataknya tidak pernah benar-benar hilang.
Dan mungkin itulah sebabnya kita masih rindu Xi sampai hari ini.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.