Dengar playlist penuh di sini
.
Malaysia memang syurga street food. Dari goreng-goreng panas tepi jalan, nasi lemak bungkus daun pisang, sampai ayam gunting yang berbau semerbak dari jauh. Semua tu buat kita sanggup berhenti kereta, sanggup beratur, sanggup diet esok hari. Tapi dalam kita puji rasa, ada satu benda yang makin lama makin buat orang rasa tak sedap hati, KEBERSIHAN!
Realitinya, masih banyak gerai makanan jalanan yang kebersihan dia… out. Jual di tempat terbuka, betul-betul tepi jalan besar. Kereta lalu lalang, motor berdesup, habuk jalan berterbangan. Itu belum masuk faktor lalat. Lalat singgah atas ayam goreng, atas sosej, atas cucur ,dan peniaga buat tak tau, muka tak bersalah pun cedok makanan yang lalat dah singgah untuk customer. Macam dah terbiasa, macam “alah biasalah”.
Masalahnya, ini bukan isu cerewet. Ini isu kesihatan. Makanan yang terdedah tanpa perlindungan memang mudah tercemar. Habuk jalan bukan sekadar debu kosong, ia boleh bawa pencemaran dari asap kenderaan. Lalat pula bukan sekadar serangga biasa. Kita semua tahu lalat hinggap kat mana sebelum dia hinggap atas makanan kita.

Contoh paling senang nampak , ayam goreng panas. Ayam baru angkat dari kuali, letak atas tray, tapi langsung tak bertutup. Tak ada penghadang, tak ada penutup lut sinar, tak ada apa-apa yang halang persekitaran luar. Sedangkan benda tu antara makanan paling laris dan paling kerap dimakan oleh kanak-kanak.
Sepatutnya, setiap gerai makanan panas macam ni wajib ada penghadang makanan. Bukan minta keluar modal mahal pun. Penutup plastik lutsinar, kaca, atau apa-apa bentuk perlindungan asas yang boleh halang habuk dan serangga. Ini bukan soal nak nampak ‘estetik’ atau moden, tapi soal tanggungjawab.
Satu lagi isu yang selalu dipandang ringan, pekerja gerai tak pakai pelitup muka. Bercakap sambil melayan pelanggan, batuk kecil, bersin halus, semua tu boleh jadi punca air liur atau kuman terpercik ke makanan. Dalam dunia lepas pandemik ni, kita sepatutnya lebih peka. Pelitup muka bukan lagi benda asing, dan bukan sesuatu yang pelik untuk dipakai bila mengendalikan makanan.
Di sinilah peranan pihak berkuasa tempatan perlu lebih tegas. Bukan sekadar datang ambil lesen, bukan sekadar rondaan bermusim. Perlu ada penguatkuasaan yang konsisten. Gerai yang berulang kali gagal jaga kebersihan patut diberi amaran keras, kompaun, atau tindakan sewajarnya.
Pada masa sama, peniaga pun kena faham, kebersihan bukan tolak rezeki. Malah, kebersihan boleh jadi nilai tambah rezeki anda. Pelanggan sekarang lebih berani bersuara, lebih cerewet, dan lebih sanggup tinggalkan gerai yang nampak kotor walaupun sedap.
Kita sebagai pengguna pun ada peranan. Jangan normalisasikan gerai kotor atas nama “janji sedap”. Kesihatan kita, anak-anak kita, dan keluarga kita lebih penting dari rasa lapar sementara. Nampak kotor, jangan beli, biarlah da sampai depan gerai, tak pe tak jadi beli.
Street food Malaysia memang identiti kita. Tapi biarlah ia dikenang sebagai sedap dan bersih, bukan sedap tapi buat orang was-was.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.