Dengar playlist penuh di sini
.
Ada orang balik kerja, tutup pintu rumah, mandi, makan dan terus boleh “berehat” dari fikir pasal kerja. Laptop tinggal di pejabat, tak ada whatsapp kerja, dan fikiran pun betul-betul boleh berhenti bekerja. Kalau itu rutin hidup anda, sebenarnya anda patut bersyukur berkali-kali. Sebab hidup seperti itu bukan sesuatu yang semua orang ada peluang untuk rasa.
Tak semua orang dapat rezeki kerja mereka habis di tempat kerja. Ramai yang terpaksa bawa balik kerja ke rumah, sama ada dalam bentuk fail, laptop atau sekadar beban di kepala. Lepas makan malam, laptop dibuka semula. Waktu orang lain dah lena, mesej kerja masih masuk. Esok pagi bangun, otak masih ulang masalah semalam. Kerja mereka bukan saja guna tenaga, tapi mengikat fikiran tanpa henti.
Penat yang paling bahaya sebenarnya bukan penat fizikal, tapi penat mental. Bila kerja ikut balik rumah, badan memang ada di sisi keluarga, tapi fikiran masih berada di pejabat. Duduk tengok TV tapi tak fokus, baring atas katil tapi mata tak boleh lelap. Otak tak pernah dapat berehat sepenuhnya. Inilah yang orang selalu maksudkan bila kata kerja itu tak pernah habis.
Kalau anda boleh balik rumah tanpa perlu buka laptop, tanpa perlu rasa bersalah bila berehat, dan tanpa perlu fikir pasal kerja sebelum tidur, itu sebenarnya satu kemewahan hidup. Walaupun gaji mungkin biasa-biasa, ketenangan fikiran itu sangat mahal nilainya. Ramai orang sanggup lepaskan jawatan besar semata-mata nak hidup yang ada sempadan antara kerja dan rumah.
Kadang-kadang kita terlalu mudah bandingkan hidup sendiri dengan orang lain. Kita nampak orang bergaji tinggi, kerja nampak hebat, hidup nampak berjaya. Tapi kita tak nampak tekanan yang mereka simpan, fikiran yang tak pernah berhenti, dan emosi yang makin lama makin penat. Ada yang senyum di pejabat, tapi kosong bila balik rumah. Ada yang nampak berjaya di luar, tapi sebenarnya keletihan dari dalam.
Bila kerja tak dibawa balik rumah, rumah kekal jadi tempat berehat, bukan sambungan pejabat. Keluarga dapat versi diri kita yang lebih tenang, anak-anak dapat perhatian yang sebenar, dan pasangan dapat berbual tanpa gangguan notifikasi kerja. Emosi jadi lebih stabil, dan hidup terasa lebih seimbang. Ini perkara kecil yang nampak biasa, tapi kesannya besar dalam jangka panjang.
Kerja yang sentiasa dibawa balik rumah akan perlahan-lahan makan diri sendiri. Mula-mula penat, lama-lama hilang semangat. Tidur tak lena, mudah marah, cepat emosi. Hubungan dengan orang sekeliling pun terjejas tanpa disedari. Semua ini berlaku bukan sebab malas, tapi sebab otak tak pernah diberi ruang untuk berhenti.
Sebab itu, kalau hidup anda sekarang begini, jangan terlalu cepat rasa tak cukup atau merendahkan diri sendiri. Jangan kecilkan nikmat hanya kerana orang lain nampak lebih hebat di mata kasar. Kalau anda masih boleh mematikan kerja bila sampai rumah dan memberi ruang untuk diri sendiri berehat, itu satu kelebihan yang sangat mahal harganya.
Ramai orang di luar sana bekerja tanpa noktah. Balik rumah pun masih bekerja, bercuti pun masih bekerja, malah tidur pun ditemani beban kerja. Jadi kalau anda tergolong dalam orang yang kerjanya habis di pejabat, hargailah hidup anda sendiri. Belajarlah bersyukur dengan apa yang ada sedang nikmati.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.