Komuniti Digital Dewasa
00%

Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengapasaja_master

Guilt Trip: Bila Tak Dapat Tolong, Dibuat Rasa Bersalah

“Sekali je minta tolong pun tak boleh...” “Susahnya minta tolong orang....” adakah ini sengaja dimanipulasi atau memang komunikasi yang gagal?

Dalam keluarga, satu benda yang selalu jadi tapi jarang orang sebut secara terang-terang ialah guilt trip bila minta tolong. Selagi kita boleh tolong, semuanya okay. Tapi bila sekali je kita tak mampu, terus keluar ayat yang buat kita rasa macam dipersalahkan seolah-olah, sebab kita dia dapat susah.

Contohnya,

“Tak apalah, memang susah nak harap kau.”
“Tak apalah, terpaksalah…”
“Sekali je minta tolong pun tak boleh…”
“Susahnya minta tolong orang….”

Padahal realitinya, orang yang kena ayat tu mungkin dah banyak kali tolong sebelum ni. Cuma ada masa dia betul-betul tak mampu. Ada komitmen lain, ada kekangan masa atau macam-macam lagi. Tapi semua usaha lepas seolah-olah dipadam hanya kerana satu penolakan.

Persoalannya, adakah ini sengaja manipulasi atau cuma komunikasi yang gagal?

Dalam konteks keluarga, selalunya ia bercampur dua-dua. Ada yang memang guna rasa bersalah sebagai tekanan supaya kehendak mereka dipenuhi. Mereka tahu dalam keluarga, sentimen tanggungjawab dan jasa lama sangat kuat. Jadi ayat-ayat menyentuh pengorbanan lampau dijadikan senjata.

Tapi ada juga yang sebenarnya tak tahu cara minta tolong dengan sihat. Mereka membesar dalam budaya yang tak biasa dengan ayat terus terang seperti, “Saya perlukan bantuan dan saya harap awak boleh tolong.” Sebaliknya, mereka guna nada kecewa dan sindiran untuk meluahkan rasa. Bukan semestinya jahat, tapi cara itu tetap melukakan.

Masalahnya, guilt trip dalam keluarga lebih berat daripada dalam hubungan biasa. Ada memori zaman kecil, ada rasa terhutang budi, jadi bila kita kata “tak boleh”, kita bukan sekadar menolak permintaan, kita rasa macam menolak keluarga sendiri.

Hakikatnya, membantu itu baik. Tapi kemampuan manusia ada had. Tolong kerana rela itu pahala dan kasih sayang. Tolong kerana rasa bersalah lama-lama jadi beban. Dan beban yang dipendam boleh bertukar jadi sakit hati dalam senyap.

Kalau kita di pihak yang meminta, cuba ubah cara. Daripada ayat, “Tak apalah, memang tak boleh harap,” tukar kepada, “Tak apa kalau tak dapat, saya faham.” Ayat yang beri ruang sebenarnya lebih membuat orang rasa dihargai dan mungkin lebih rela membantu lain kali.

Kalau kita pula di pihak yang selalu kena guilt trip, belajar cakap dengan tenang. Contohnya, “Bukan saya tak mahu tolong. Saya cuma tak mampu kali ini.” Ulang dengan konsisten tanpa marah. Sempadan yang jelas bukan kurang ajar. Ia tanda kita menjaga kesihatan emosi sendiri.

Dalam keluarga, kasih sayang tak sepatutnya diukur melalui tekanan emosi. Dan jasa lama tak patut dijadikan alat untuk memaksa. Komunikasi yang matang bukan buat orang rasa bersalah, tapi buat orang rasa dihormati.

Sebab hubungan yang sihat bukan tentang siapa paling banyak berkorban. Tapi tentang saling faham bahawa setiap orang ada had kemampuan mereka.

scream, cry, message, boy, help, cry for help, abstract, scream, cry, help, help, help, help, help

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.