Komuniti Digital Dewasa
00%

Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengretro_master

Rindu Zaman Telefon Awam: Syiling Sangkut, Hati Lagi Sangkut

Kadang-kadang syiling sangkut, kita tepuk-tepuk sikit mesin tu dengan harapan ada keajaiban. Kadang berjaya, kadang reda je.

Sebelum wujudnya WhatsApp, sebelum ada panggilan video, sebelum kita boleh share live location, pernah ada satu zaman di mana sekeping syiling 20 sen boleh menentukan nasib kita hari itu.

Telefon awam.

Budak-budak sekarang mungkin tak pernah rasa berdiri dalam pondok kecil berwarna oren atau biru, pegang gagang yang berat, tekan nombor satu-satu sambil berdebar takut duit tak cukup. Tapi bagi generasi 90-an dan awal era 2000, telefon awam bukan sekadar alat komunikasi. Ia talian hayat.

Kita pernah hafal nombor telefon rumah kawan baik. Hafal nombor rumah sendiri. Siap tahu kod kawasan. Tak ada istilah “save contact”. Semua simpan dalam kepala.

Kalau nak keluar main, kita akan cakap, “Nanti pukul 5 call rumah aku.” Dan betul-betul pukul 5, telefon rumah berdering. Mak yang angkat dulu. Berdebar nak tunggu mak panggil nama kita.

Kalau terlepas bas, telefon awam jadi penyelamat. Masukkan syiling, doa-doa line tak sibuk. Kadang-kadang syiling sangkut, kita tepuk-tepuk sikit mesin tu dengan harapan ada keajaiban. Kadang berjaya, kadang redha je.

Telefon awam juga saksi banyak momen rahsia. Budak sekolah telefon crush guna suara paling macho atau paling sopan. Cakap pendek-pendek sebab malu kalau orang belakang beratur dengar. Kadang-kadang, kita cuma diam dan dengar nafas di hujung talian.

Ada sesuatu yang jujur tentang komunikasi waktu itu. Tak ada typing indicator. Tak ada “last seen”. Kalau orang tak jawab, memang tak jawab. Kita belajar sabar. Belajar menunggu.

Dan mungkin yang paling mahal…kita belajar merancang.

Nak telefon seseorang bukan perkara spontan. Kena fikir masa sesuai. Kena pastikan ada duit syiling. Kena pastikan nombor betul. Setiap panggilan ada usaha. Sebab itu setiap perbualan terasa lebih bermakna.

Hari ini, semuanya di hujung jari. Nak hubungi sesiapa pun boleh dalam beberapa saat. Tapi anehnya, makin mudah kita berhubung, makin kurang rasa keterujaannya.

Telefon awam mengajar kita bahawa komunikasi itu ada nilainya. Ada harga. Ada usaha.

Sekarang pondok-pondok itu makin hilang. Ada yang sudah berkarat, ada yang tinggal rangka. Anak-anak kita mungkin takkan pernah tahu rasa berdiri dalam hujan, berteduh sambil menunggu giliran untuk menelefon rumah.

Tapi kita tahu.

Kita generasi yang pernah hidup tanpa talian tetap di poket. Kita generasi yang tahu erti syiling terakhir. Kita generasi yang pernah berdiri di situ,antara harapan dan bunyi nada dail.

Dan entah kenapa, bila teringat telefon awam, ada rasa rindu yang tak boleh dijelaskan.

Mungkin bukan pada mesinnya.

Tapi pada zaman bila segalanya terasa lebih lambat namun punya lebih bermakna.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.