Komuniti Digital Dewasa
00%

Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengfamili_master

“Kalaulah Dunia Ini Tiada Internet…,” Bisik Hati Seorang Ibu

Waktu mak panggil dulu, kita terus menyahut tanpa perlu dipanggil berkali-kali. Bila diminta basuh pinggan, kita buat sahaja walaupun merungut dalam hati.

Masa kecil dulu, ramai antara kita pernah rasa mak ayah terlalu banyak melarang. Semua benda ada peraturan. Kena belajar rajin-rajin, tak boleh keluar lama, balik rumah mesti awal dan setiap kata mereka kadang terasa seperti mengongkong kebebasan kita. Waktu itu, kita fikir mereka sengaja mahu mengawal hidup anak-anak.

Namun bila usia makin meningkat dan akhirnya kita sendiri bergelar ibu atau ayah, barulah satu persatu perkara mula difahami. Rupanya apa yang dilakukan oleh emak dulu bukan kerana mahu menyusahkan anak tetapi kerana terlalu sayang dan mahu melihat anak membesar dengan baik.

Bila dah jadi mak, baru kita sedar penat seorang ibu sebenarnya bukan sekadar penat fizikal. Ia lebih daripada itu. Penat menjaga rumah, memasak, mengurus keluarga dan bekerja mungkin boleh hilang selepas berehat. Tetapi penat di hati… itu yang paling sukar dijelaskan.

Zaman dulu hidup jauh lebih sederhana. Waktu mak memanggil dari dapur, kita terus menyahut tanpa perlu dipanggil berkali-kali. Bila diminta tolong beli barang di kedai atau basuh pinggan, kita buat sahaja walaupun kadang merungut dalam hati. Hubungan dalam keluarga terasa lebih dekat walaupun kehidupan tidak semewah sekarang.

Malah ramai anak zaman dahulu menerima sahaja pilihan ibu bapa tentang pelajaran atau kerjaya. Kalau mak ayah suruh masuk aliran tertentu atau pilih kursus tertentu, kita ikut kerana percaya mereka mahu yang terbaik. Bukan sebab terlalu takut tetapi kerana hormat dan yakin pada pengalaman mereka.

Hari ini suasananya jauh berbeza.

Anak-anak membesar bersama teknologi. Telefon pintar, media sosial dan internet menjadi sebahagian besar dunia mereka. Kadang-kadang dalam satu rumah, semua ada di ruang yang sama tetapi masing-masing tenggelam dengan skrin sendiri. Anak duduk di bilik memakai earphone, ibu pula di dapur atau ruang tamu. Rumah masih penuh orang tetapi terasa sunyi.

Yang paling membuat hati seorang ibu terasa berat bukanlah apabila anak melawan atau meninggikan suara. Kalau mereka marah atau memberontak, sekurang-kurangnya kita tahu apa yang mereka rasa. Tetapi apabila anak memilih untuk diam, menjauh dan memendam perasaan sendiri, itu yang lebih menyakitkan.

Sebagai ibu bapa, kita cuba memahami perubahan zaman. Kita tahu tekanan yang dihadapi anak-anak hari ini juga tidak sama seperti dulu. Mereka hidup dalam dunia yang terlalu pantas, terlalu terbuka dan penuh pengaruh luar. Media sosial membuatkan mereka sentiasa membandingkan diri dengan orang lain. Kadang-kadang ibu bapa sendiri rasa kalah untuk merebut perhatian anak daripada telefon di tangan mereka.

Sampai ada ibu yang pernah terdetik dalam hati, “Kalaulah dunia ini tak ada internet…”

Bukan kerana membenci teknologi tetapi kerana terlalu rindukan hubungan yang lebih dekat. Rindu suasana meja makan yang penuh dengan cerita. Rindu anak-anak berbual dan bergelak ketawa bersama keluarga tanpa sibuk melihat telefon. Rindu rumah yang hidup dengan suara dan gurauan.

Dan mungkin inilah fasa yang membuatkan ramai anak akhirnya memahami satu perkara penting ..pengorbanan emak dulu sebenarnya terlalu besar untuk dibalas dengan apa pun. Dulu kita nampak emak hanya sebagai orang yang suka berleter. Tetapi hari ini, selepas melalui sendiri perjalanan menjadi ibu bapa, barulah kita sedar… setiap leteran itu sebenarnya datang daripada kasih sayang yang tidak pernah habis.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.