Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengfamili_master

Tinggal Dengan Parents, Tapi Tak Menyumbang Duit Dan Tenaga

Mak ayah makin lama makin dimamah usia, tenaga pun semakin berkurang. Sampai bila orang tua kena tanggung biawak hidup yang sihat walafiat anggotanya?

Pernah tak anda balik rumah dalam keadaan penat selepas seharian bekerja mencari rezeki, tapi elok je buka pintu, tengok ada ‘harta karun’ yang tak bergerak atas sofa? Kain baju berlonggok tak beralih, pinggan mangkuk penuh dalam sinki, dan anak anda masih lagi syok melayan telefon atau leka bermain game tanpa rasa bersalah. Situasi anak dewasa yang malas dan langsung tidak menyumbang kepada keluarga sama ada dari segi kewangan mahupun tenaga, semakin hari semakin banyak berlaku dalam masyarakat kita hari ini.

Kalau nak diikutkan, anak-anak yang sudah habis belajar atau sudah besar panjang sepatutnya mula belajar memikul tanggungjawab dalam keluarga. Tapi realitinya, ada yang memilih untuk menjadi beban kekal di rumah. Dari segi kewangan (financially), jangankan kata nak hulur duit belanja dapur atau tolong bayar bil elektrik, duit poket sendiri pun kadang-kadang masih mengharapkan ihsan mak ayah yang sudah tua. Paling menyedihkan, ada yang bekerja tapi duitnya habis untuk kepuasan peribadi semata-mata, langsung tiada niat nak meringankan beban orang tua.

Bila bab duit tak boleh harap, kita jangkakan sekurang-kurangnya bolehlah tolong dari segi fizikal (physically) kat rumah. Tapi malangnya, habuk kat kipas pun tak pernah nak pandang. Kain baju sendiri pun masih mengharapkan mak yang sakit pinggang tolong basuh dan lipatkan. Kelakuan acah-acah ‘raja’ atau ‘pungguk rindukan bulan’ dalam rumah sendiri ni sebenarnya berpunca daripada hilangnya rasa empati dan sikap terlalu dimanjakan sejak kecil sehingga mereka rasa entitled untuk dilayan sampai ke tua.

Sikap malas dan tidak menyumbang langsung ni lama-kelamaan akan membunuh keharmonian rumah tangga. Mak ayah makin lama makin dimamah usia, tenaga pun semakin berkurang. Sampai bila orang tua kena tanggung biawak hidup yang sihat walafiat anggotanya? Jika dibiarkan tanpa sebarang ketegasan, anak-anak ini tidak akan pernah belajar berdikari dan akhirnya akan menjadi manusia yang gagal dalam masyarakat apabila ibu bapa mereka sudah tiada nanti.

Jadi, sudah tiba masanya untuk mak ayah ubah strategi dan tetapkan had sempadan yang jelas. Berhenti penuhi semua kehendak mereka secara percuma. Kalau mereka tak bekerja, wajibkan mereka buat semua kerja rumah sebagai ‘bayaran’ sewa duduk di situ. Kalau bekerja, paksa mereka sumbangkan bajet bulanan untuk rumah. Rumah keluarga adalah tanggungjawab bersama, bukannya hotel bajet percuma. Ingatkan mereka, jika niat mahu hidup diberkati, belajarlah untuk berbakti dan mudahkan urusan orang tua, bukannya menjadi punca air mata dorang mengalir setiap hari.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.