Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengfamili_master

Dijodohkan, Tengok Muka Suami Buat Pertama Kali Di Hari Nikah

Tak ada cerita dating, tak ada drama confess perasaan. Jumpa bakal suami hari tunang, kahwin minggu depannya.

Nenek anda kahwin dengan siapa? Pernah tak tanya dia macam mana ceritanya? Mungkin jawapan yang korang dapat adalah “Abah yang pilihkan.” Atau mungkin sekadar, “Mak cakap lelaki tu baik, terus kahwin.” Tak ada cerita dating, tak ada drama confess perasaan. Jumpa hari tunang, kahwin minggu depannya.

Itulah realiti perkahwinan arranged marriage atau perkahwinan dijodohkan yang jadi norma dalam masyarakat Melayu zaman dulu. Dan ia bukan sekadar cerita lama ia ada kisahnya yang jauh lebih dalam dari yang kita sangka.

Dalam masyarakat Melayu tradisional, proses pencarian jodoh dilakukan oleh pihak lelaki melalui adat yang dikenali sebagai merisik iaitu satu proses menyelidiki latar belakang calon isteri sebelum sebarang peminangan dilakukan. Pencari jodoh biasanya terdiri daripada orang yang dihormati dalam masyarakat seperti ketua kampung, imam, guru agama, malah guru sekolah turut dipercayai untuk menjalankan tugas ini.

Si gadis? Dia mungkin tak tahu pun ada orang sedang “menyelidiki” dirinya dari jauh. Tiba-tiba saja keluarga lelaki datang ke rumah, dan keputusan dibuat oleh orang tua, kadang tanpa bertanya pun persetujuan kepada si anak. Bukan sebab ibu bapa tak sayang, tapi kerana itulah cara mereka, mereka yang lebih “tahu” mana yang terbaik untuk anak.

Bagi masyarakat Melayu zaman dahulu, jodoh, rezeki, dan kematian sepenuhnya dianggap sebagai rahsia Ilahi, namun mencari jodoh tetap perlu dilakukan, dan yang aktif mencari adalah pihak lelaki. Anak perempuan, dalam banyak kes, hanya menunggu dan menerima. Suara perempuan dalam hal perkahwinan waktu itu hampir tidak pernah didengari. Menolak pinangan bukan sekadar “tak nak” , malah ia boleh bermaksud memalukan keluarga, melanggar adat, dan dalam sesetengah kes, si gadis mungkin takut dianggap “menyembunyikan sesuatu”. Jadi demi menjaga nama baik keluarga, perkahwinan itu harus dituruti, suka atau tidak.

Ada nenek-nenek yang kini bila ditanya, mereka gelak kecil dan cakap, “Mana aku kenal dia, tengok muka pun masa hari nikah.” Ada yang cakap hidup mereka bahagia, cinta tumbuh perlahan selepas kahwin. Tapi ada juga yang membisu, diam yang panjang, yang menyimpan cerita lain. Mungkin ada lelaki lain yang pernah bertahta di hati mereka namun dicantas oleh pinangan yang lain.

Namun kini, zaman sudah berubah. Hari ini, kebanyakan anak muda sudah pandai mencari pasangan sendiri, dan jika dijodohkan pun, rata-rata akan menolak. Pendidikan, media sosial, dan kebebasan bersuara telah mengubah cara generasi kini memandang perkahwinan, ia bukan lagi urusan keluarga semata-mata, tapi pilihan peribadi yang sepenuhnya milik sendiri.

Tapi arranged marriage belum hilang sepenuhnya di Malaysia. Masih ada keluarga yang mengamalkannya, terutama di kawasan pedalaman dan dalam komuniti tertentu , cuma mungkin caranya lebih halus sekarang. Bukan paksa, tapi “dipertemukan.” Bukan dijodohkan tanpa tanya, tapi “dicadangkan.” Dan dalam sesetengah komuniti bukan Melayu di Malaysia, tradisi ini masih cukup kuat diamalkan.

Jadi soalan untuk andam adakah dalam kalangan pembaca kami yang pernah atau sedang dalam situasi dijodohkan? Atau mungkin ada yang tahu kisah nenek atau ibu yang kahwin arranged marriage, bahagia ke, atau ada cerita lain di sebaliknya? Kongsikan dalam komen, kami ingin dengar cerita anda.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.