Dengar playlist penuh di sini
.
Kalau anda seorang suami yang expect isteri maintain cantik, badan kemas, wangi, pakai cantik-cantik selepas bertahun-tahun berkahwin , tiada siapa yang salahkan anda. Memang fitrah manusia suka tengok sesuatu yang indah, dan isteri yang pandai jaga diri memang buat suami lagi sayang, lagi berselera, lagi membara cinta mereka.
Tapi sebelum anda tuntut semua tu daripada isteri, cuba jawab soalan ni. Bila kali terakhir anda tengok cermin betul-betul? Berapa kali anda check bau nafas anda?
Bukan tengok sekali imbas sambil kemaskan rambut. Tapi betul-betul berdiri, tengok dari atas ke bawah, dan tanya diri sendiri, adakah anda masih lelaki yang isteri anda kahwini dulu?
Sebab ramai suami yang terlupa satu benda asas dalam perkahwinan. Harapan itu perlu berjalan dua hala. Kalau anda rasa tidak berselera nak peluk cium isteri sebab dia dah naik berat badan, anda perlu tahu, isteri anda pun ada selera. Isteri anda pun ada mata. Isteri anda pun ada hidung.Dan isteri anda pun ada hak untuk rasa tertarik dengan suaminya sendiri.
Situasi yang banyak kita lihat sekarang ni sebenarnya agak ironi. Isteri bangun pagi, siapkan diri, pakai baju yang kemas, bau wangi sebelum keluar rumah. Lepas kerja balik rumah, urus anak, masak, bersihkan rumah tapi masih sempat jaga diri. Tapi suami? Balik kerja terus bukak butang baju, seluar kain pelikat, duduk depan TV, tak mandi sampai esok pagi. Perut dah buncit tapi bukan main lagi nak komen badan isteri. Muka dah kusam tapi nak isteri pakai blusher cantik-cantik untuk dia.
Yang paling sukar diterima akal, ada yang sampai busuk pun ada, sebab mandi tak bersabun, ala kadar je, gosok gigi pun pagi nak pergi kerja je, dah makan melantak seharian, malam nak tidur tak gosok gigi, padahal time tulah nak manja dengan isteri. Isteri pulak bukan main pakai lotion sana-sini nak wangi, mandian wangi-wangi untuk pikat suami pun dia terpengaruh beli kat Tiktok tau.
Jangan hairan kenapa isteri mula menolak untuk bersama. Jangan terkejut bila isteri cari alasan untuk elak. Sebelum anda persoalkan kenapa isteri semakin dingin, cuba cerminkan diri sendiri dulu. Adakah anda masih layak untuk tuntut apa yang anda tuntut?
Ini bukan pasal sempurna. Badan berubah selepas bertahun-tahun, itu lumrah. Isteri naik berat selepas beranak, itu pengorbanan. Suami berubah selepas kerja keras, itu realiti. Tiada siapa yang kekal sama seperti hari pertama bertemu. Tapi ada bezanya antara berubah secara semula jadi dengan tidak peduli langsung tentang diri sendiri sambil masih expect yang terbaik dari pasangan.
Jaga penampilan bukan semata-mata untuk orang lain. Ia tentang menghormati diri sendiri, dan menghormati pasangan yang pilih untuk berada di sisi anda. Mandi, pakai wangi, jaga pemakanan, bersenam sekali sekala, benda-benda asas ini bukan permintaan yang besar. Ini standard minimum seorang manusia yang tinggal bersama orang lain.
Kalau anda mahu isteri cantik untuk anda, jadilah suami yang isteri anda bangga untuk pandang.
Sebab perkahwinan yang bahagia bukan dibina atas tuntutan sehala. Ia dibina atas usaha bersama termasuklah usaha untuk kekal menarik di mata satu sama lain, bukan sekadar di mata orang luar. Mana tahu, kalau anda wangi dan tak buncit, isteri hari-hari nak manja-manja.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.