Dengar playlist penuh di sini
.

Kita ni baru buka tong sampah dapur beberapa saat pun dah mula tahan nafas. Ada yang terus tutup hidung, ada yang cepat-cepat lari. Kalau bau longkang tersumbat pun boleh hilang selera makan.
Tapi pekerja lori sampah?
Setiap hari mereka berdepan dengan sisa makanan yang sudah basi, lampin pakai buang, sampah yang bocor, bau ikan busuk, buah reput dan macam-macam lagi.
Macam mana mereka boleh tahan?
Rupanya, jawapannya terletak pada otak kita sendiri.
Pakar menjelaskan bahawa manusia mempunyai satu keupayaan yang dipanggil olfactory adaptation, iaitu deria bau akan menjadi kurang sensitif apabila kita terdedah kepada bau yang sama secara berterusan. Maksudnya, selepas beberapa ketika, hidung masih menghidu bau itu tetapi otak berhenti memberi “amaran” seperti pada awalnya.
Sebab itulah bila kita masuk ke rumah orang yang bela banyak kucing, kita mungkin terus perasan baunya. Tetapi tuan rumah pula boleh berkata, “Eh, tak ada bau pun.”
Fenomena yang sama berlaku kepada pekerja lori sampah.
Namun jangan salah faham. Mereka bukan langsung tidak menghidu bau tersebut. Mereka cuma sudah menyesuaikan diri dengannya.
Ramai juga pekerja pembersihan berkongsi bahawa pada minggu-minggu pertama bekerja, mereka kerap rasa loya, pening atau hampir muntah. Ada yang menyapu sedikit minyak angin atau balm di bawah hidung, malah ada yang memakai pelitup muka yang disembur sedikit minyak wangi bagi mengurangkan bau yang terlalu kuat.
Lama-kelamaan, badan mula menyesuaikan diri dan rasa loya semakin berkurangan.
Tetapi cabaran sebenar bukan sekadar bau busuk.
Mereka berisiko terkena kaca pecah, jarum, sisa bahan kimia, malah ada yang cedera kerana orang ramai membuang benda tajam tanpa membungkusnya dengan betul. Dalam cuaca panas, lori sampah pula boleh menjadi tempat pembiakan bakteria dan menghasilkan gas daripada sisa makanan yang mereput.
Sebab itu, ramai pekerja dalam bidang ini memakai sarung tangan tebal, kasut keselamatan dan sentiasa menjaga kebersihan diri selepas tamat syif.
Hakikatnya, kita hanya menghidu bau itu beberapa saat.
Mereka menghadapinya berjam-jam setiap hari supaya kawasan perumahan kita kekal bersih.
Mungkin sudah sampai masanya kita berhenti memandang rendah pekerjaan ini. Kerana tanpa mereka, hanya beberapa hari sahaja sudah cukup untuk membuatkan seluruh kawasan dipenuhi timbunan sampah dan bau yang jauh lebih teruk daripada apa yang mereka hadapi setiap hari.
Kadang-kadang, orang yang paling banyak berjasa kepada masyarakat ialah orang yang paling jarang kita ucapkan terima kasih.
Esok, lusa jom jumpa mereka dan say thank you..
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.