Dengar playlist penuh di sini
.
Penat. Cari rezeki, penat. Jaga anak, penat. Buat kerja rumah, penat. Pergi kerja, penat. Balik kerja pun penat.
Sampai kadang-kadang kita sendiri tertanya-tanya, sebenarnya apa yang kita kejar sampai hidup terasa begitu meletihkan?
Lebih pelik, ada masa badan tidaklah terlalu penat.
Tetapi hati penat.
Fikiran penat.
Emosi penat.
Kita fikir penyelesaiannya ialah tidur lebih lama, bercuti atau ambil “me time”. Semua itu mungkin membantu.
Tetapi bagaimana kalau puncanya bukan kerana kita kurang berehat?
Mungkin kerana kita tidak tahu sempadan dalam hidup.
Ada perkara yang memang menjadi tanggungjawab kita. Ada perkara yang bukan tugas kita.
Tetapi kita sering terbalik.
Yang memang dituntut daripada kita kadang-kadang dibuat sambil lewa. Yang bukan tanggungjawab kita pula, kita sibuk fikir, sibuk kawal dan sibuk cuba selesaikan.
Akhirnya?
Memanglah penat.
Lihat sahaja alam sekeliling.
Matahari ada peranannya. Bulan ada peranannya. Pokok ada peranannya. Laut juga ada peranannya.
Allah menciptakan setiap sesuatu dengan aturan dan fungsi masing-masing.
Tetapi manusia berbeza.
Kita diberikan kemampuan untuk memilih. Kita diberikan akal untuk berfikir dan iman untuk menentukan arah.
Jadi setiap hari kita sebenarnya membuat pilihan:
Nak buat apa yang menjadi tanggungjawab kita atau sibuk dengan perkara yang bukan urusan kita?
Kadang-kadang kita penat bukan kerana terlalu banyak kerja.
Kita penat kerana kita cuba membuat kerja yang bukan kerja kita.
Kita cuba mengawal apa yang di luar kawalan. Terlalu memikirkan pandangan orang. Mahu menyelesaikan masalah semua orang. Mahu memastikan semuanya sempurna. Risau tentang perkara yang belum berlaku.
Sedangkan dalam masa yang sama, perkara yang Allah amanahkan kepada kita mungkin semakin terabai.
Sebab itu, penat yang berpanjangan jangan sentiasa dianggap perkara biasa. Bila tubuh, fikiran dan emosi terlalu lama berada dalam keadaan terpaksa, kita boleh rasa lesu walaupun sudah berehat.
Menjaga kesihatan bukan hanya tentang makan dengan betul dan cukup tidur, tetapi juga tentang belajar meletakkan beban pada tempatnya.
Cari rezeki, ya.
Bekerja bersungguh-sungguh, ya.
Jaga keluarga, ya.
Tunaikan tanggungjawab, ya.
Tetapi jangan sampai kita berusaha seolah-olah segala-galanya bergantung kepada kita.
Rezeki perlu dicari tetapi rezeki tetap milik Allah.
Kita perlu berusaha untuk masa depan tetapi masa depan bukan milik kita untuk ditentukan.
Di situlah bezanya antara berusaha dengan berserah.
Orang yang melakukan apa yang menjadi bahagiannya, kemudian menyerahkan apa yang di luar kawalannya kepada Allah, mungkin tetap penat.
Tetapi penatnya berbeza.
Ada rasa lapang. Ada rasa tenang.
Kerana dia tahu, dia sudah melakukan apa yang mampu dilakukan dan selebihnya dia serahkan kepada Allah.
Jadi kalau kebelakangan ini perkataan yang paling kerap keluar dari mulut kita ialah “penat…”, mungkin kita bukan sekadar perlukan tidur.
Mungkin kita perlu duduk sekejap dan bertanya:
“Apa sebenarnya tanggungjawab aku… dan apa yang selama ini aku cuba buat walaupun itu bukan urusan aku?”
Kerana kadang-kadang yang membuat hidup terasa berat bukan banyaknya beban.
Tetapi kita sedang memikul beban yang sebenarnya bukan milik kita.
Dan mungkin selepas ini, bila rasa penat datang lagi, jangan cuma tanya:
“Bila aku boleh berehat?”
Tanya juga:
“Apa yang patut aku lepaskan?”

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.