Dengar playlist penuh di sini
.

Bukan gam UHU. Bukan gam kasut. Tetapi bila seseorang artis atau lagu “kena gam”, maknanya jangan harap nak nampak muka di televisyen atau dengar lagu mereka di stesen tertentu.
Dulu, artis memang kena lebih berhati-hati.
Penampilan pun diperhatikan. Rambut panjang boleh jadi isu. Lirik lagu kena jaga. Cara persembahan pun ada batasnya. Malah, RTM pada ketika itu memang mempunyai garis panduan dan kod etika penyiaran yang perlu dipatuhi artis. Dalam rekod Parlimen pada 1988, istilah “kena gam” sendiri disebut berkaitan tindakan mengecualikan artis daripada pertunjukan tertentu jika mereka tidak mematuhi garis panduan.
Kemudian pada awal 1990-an, kita menyaksikan antara kisah paling terkenal dalam sejarah muzik tempatan apabila artis rock berambut panjang berdepan sekatan RTM. Search dan Wings antara nama besar yang terlibat, sebelum isu rambut itu akhirnya diselesaikan dan sekatan mereka ditarik balik.
Masa itu, kalau artis kena gam, memang boleh terasa kesannya.
Tak masuk TV.
Tak masuk radio.
Promosi terganggu.
Nama pun lama-lama boleh tenggelam.
Sebab pilihan untuk artis tidak sebanyak hari ini.
Sekarang pula?
Artis ada Instagram. Ada TikTok. Ada YouTube. Ada podcast. Ada platform penstriman. Kalau satu pintu tertutup, masih ada banyak lagi pintu yang boleh diketuk.
Sebab itu dunia hiburan hari ini memang sudah berubah.
Dulu, stesen televisyen dan radio mempunyai pengaruh yang sangat besar terhadap naik turun seseorang artis. Sekarang, seorang artis boleh bina audiens sendiri tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada televisyen atau radio.
Tetapi persoalannya…
Adakah kebebasan itu bermaksud artis sekarang boleh buat apa sahaja?
Tidak juga.
Cuma bentuk “hukuman” sudah berubah.
Kalau dulu takut kena gam, sekarang mungkin takut kena kecam.
Satu video boleh tular dalam masa beberapa minit. Satu kenyataan boleh mengundang ribuan komen. Pengikut boleh unfollow. Jenama boleh menarik diri. Dan reputasi yang dibina bertahun-tahun boleh tercalar hanya kerana satu kesilapan.
Bezanya, dulu ada pihak yang boleh berkata, “Jangan siarkan dia.”
Sekarang, orang ramai sendiri boleh berkata, “Kami tak mahu tengok.”
Zaman berubah.
Cara mengawal industri berubah.
Tetapi satu perkara sebenarnya masih sama iaitu artis tetap kena fikir sebelum bercakap, sebelum bertindak dan sebelum memuat naik sesuatu.
Cuma kalau dulu takut kena gam…
sekarang takut kena cancel.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.