Dengar playlist penuh di sini
.
Kes Cornell University di Amerika Syarikat ini membuka satu persoalan yang sebenarnya boleh berlaku di mana-mana, termasuk Malaysia.
Seorang bekas pelajar perempuan memfailkan saman pada September 2026, mendakwa dia telah diserang secara seksual oleh beberapa lelaki selepas satu malam yang melibatkan aktiviti sosial pelajar di rumah fraternity Chi Phi. Dalam dakwaannya, dia mengatakan dirinya berada dalam keadaan sangat mabuk dan tidak mampu membuat keputusan dengan jelas ketika kejadian berlaku. Beberapa lelaki didakwa terlibat dalam serangan tersebut. Dalam kes Cornell itu, terdapat 7 lelaki yang dinamakan sebagai defendan dalam saman sivil tersebut. Mereka ialah tujuh ahli semasa atau bekas ahli fraternity Chi Phi. Mereka dikatakan secara bergilir-gilir telah melakukan pemerkosaan terhadap wanita tersebut ketika wanita itu dalam keadaan tidak sedar (mabuk).
Namun begitu, penting untuk difahami bahawa perkara ini masih merupakan dakwaan dalam tuntutan sivil. Ia belum diputuskan oleh mahkamah dan salah seorang peguam defendan telah menafikan dakwaan terhadap anak guamnya. Pihak pendakwa raya juga sebelum ini menyatakan bahawa bukti yang ada tidak mencukupi untuk membawa pertuduhan jenayah.
Tetapi ada satu perkara daripada kes ini yang wajar kita bincangkan tanpa menunggu keputusan mahkamah.
Budaya dalam kalangan lelaki muda.
Kita mungkin fikir perkara seperti ini hanya berlaku di universiti Amerika kerana mereka ada fraternity, budaya party dan alkohol. Tetapi Malaysia juga mempunyai universiti dengan rumah sewa pelajar, apartment, private gathering, kelab, parti, group WhatsApp dan Telegram.
Bila sekumpulan lelaki berkumpul, kadang-kadang wujud apa yang dipanggil “bro code”. Jangan kacau kawan. Jangan masuk campur. Jangan jadi batu api. Backup member walaupun member buat benda yang salah.
Inilah mentaliti yang perlu diubah.
Kalau seorang lelaki nampak kawannya mengambil kesempatan terhadap perempuan yang terlalu mabuk, tidak sedarkan diri atau tidak mampu memberikan persetujuan dengan jelas, dia tidak sepatutnya diam semata-mata kerana itu “kawan sendiri”.
Consent bukan bermaksud perempuan itu tidak sempat berkata “tidak”.
Kalau seseorang tidak sedar, dia tidak boleh memberikan persetujuan.
Kalau seseorang terlalu mabuk sehingga tidak mampu membuat keputusan, keadaan itu juga bukan lesen untuk mengambil kesempatan.
Dan perkara ini bukan hanya tanggungjawab perempuan untuk menjaga diri.
Lelaki juga perlu diajar untuk menjaga batas.
Kalau seorang kawan mabuk, pastikan dia selamat. Kalau nampak sesuatu yang mencurigakan, masuk campur. Kalau kawan sendiri melakukan sesuatu yang salah, berani tegur.
Universiti bukan sekadar tempat belajar degree, cari kerja dan bina kerjaya.
Ia juga tempat anak muda belajar menjadi manusia dewasa.
Sebab menjadi lelaki bukan tentang berapa ramai perempuan yang boleh ditawan.
Kadang-kadang, ukuran seorang lelaki sebenarnya lebih jelas ketika dia mempunyai peluang untuk mengambil kesempatan terhadap seseorang yang lebih lemah, tetapi memilih untuk tidak melakukannya.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.