Dengar playlist penuh di sini
.
Ada ibu ayah yang sebenarnya sudah lama teringin berhenti kerja. Mereka sudah penat. Umur semakin meningkat, badan pun sudah tidak sekuat dahulu. Mereka teringin bangun pagi tanpa perlu fikir tentang punch card, mesyuarat, pelanggan atau bos.
Tetapi mereka tak boleh pencen awal.
Bukan sebab mereka masih ada impian besar.
Tetapi sebab anak-anak masih bergantung kepada mereka.
Yang sedihnya, anak-anak itu bukan lagi budak sekolah. Ada yang sudah 20-an, 30-an, malah hampir 40 tahun. Sudah boleh bekerja, sudah cukup umur untuk mencari pendapatan sendiri, tetapi kehidupan masih seolah-olah ibu dan ayah yang perlu menyelesaikan semuanya.
Bil elektrik, duit sewa, kereta, telefon, makan, pinjaman, kadang-kadang sampai perbelanjaan harian pun masih minta daripada mak ayah.
Bila ditanya, “Bila nak kerja?”
Jawapannya, “Belum dapat lagi.”
Tanya beberapa bulan kemudian, jawapan masih sama.
Yang lebih membimbangkan ialah bukan sekadar belum mendapat pekerjaan. Ada yang tidak nampak pun usaha untuk mengubah keadaan. Tidak mahu bermula dari bawah kerana rasa kerja itu tak sesuai dengan kelulusan. Tak mahu gaji rendah kerana “tak berbaloi”. Tak mahu berpindah kerana selesa duduk di rumah.
Akhirnya siapa yang membayar harga?
Ibu ayah.
Mereka terus bekerja walaupun sebenarnya sudah mahu berehat. Duit yang sepatutnya digunakan untuk kesihatan, simpanan hari tua atau menikmati hidup selepas bertahun-tahun bekerja terpaksa digunakan untuk menyara anak yang sudah dewasa.
Memang ada keadaan tertentu yang membuatkan anak belum mampu berdikari. Masalah kesihatan, kehilangan pekerjaan, ekonomi atau keadaan hidup tertentu memang perlu difahami.
Tetapi kalau sihat, mampu bekerja dan masih memilih untuk bergantung kerana terlalu selesa, itu cerita yang berbeza.
Anak bukan tidak boleh dibantu.
Tetapi bantuan tidak sepatutnya menjadi gaya hidup selama-lamanya.
Kadang-kadang ibu ayah terlalu sayangkan anak sampai mereka sanggup terus bekerja walaupun sudah penat. Mereka takut kalau berhenti, anak tidak makan. Takut anak susah. Takut anak marah. Akhirnya mereka sendiri tidak sempat menikmati hasil kerja bertahun-tahun.
Anak-anak perlu sedar satu perkara.
Mak ayah bukan semakin muda.
Suatu hari nanti mereka juga akan sakit, tidak mampu bekerja dan mungkin memerlukan penjagaan.
Jangan tunggu sampai ibu atau ayah sudah tidak ada tenaga untuk bekerja, barulah kita mula belajar berdikari.
Sebab ada ibu ayah yang bukan tidak mahu pencen awal.
Mereka cuma belum boleh pencen kerana masih mempunyai anak yang belum mahu membesar.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.