Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengsihat_master

Kena Gigit Anjing, Macam Mana Rabies Boleh Sampai Membunuh?

Gigitan haiwan mungkin nampak seperti luka biasa. Tetapi apabila virus rabies mula bergerak menuju otak, tubuh boleh berdepan gangguan saraf yang serius.
Close-up of a veterinarian injecting a dog with care in a clinic setting.

Kalau dengar perkataan rabies, ramai terus terbayang anjing yang tiba-tiba jadi agresif, mulut berbuih dan menggigit orang. Tapi persoalannya, macam mana virus ini sebenarnya boleh menyebabkan seseorang meninggal dunia?

Agak menakutkan, rabies bukan sekadar menyerang tempat gigitan. Virus ini akhirnya menyerang sistem saraf pusat, termasuk otak dan saraf tunjang.

Rabies biasanya merebak melalui air liur haiwan yang dijangkiti, paling kerap melalui gigitan. Virus kemudiannya boleh bergerak masuk ke dalam saraf berhampiran kawasan luka dan bergerak menuju ke sistem saraf pusat.

Sebab itu tempoh sebelum simptom muncul boleh agak lama. Ia lazimnya sekitar 2 hingga 3 bulan, tetapi boleh berbeza bergantung kepada keadaan pendedahan, termasuk lokasi gigitan.

Pada peringkat awal, seseorang mungkin cuma mengalami demam, sakit kepala, lemah badan atau rasa sakit, gatal, mencucuk dan terbakar di kawasan gigitan. Jadi memang mudah untuk menyangka semuanya sudah baik.

Apabila rabies sampai ke sistem saraf pusat, ia menyebabkan radang otak dan saraf tunjang yang progresif dan boleh membawa maut.

Pesakit boleh mengalami kekeliruan, keresahan, halusinasi, sawan, perubahan tingkah laku dan masalah mengawal fungsi saraf. Ada juga yang mengalami kelumpuhan yang semakin teruk.

Dan di sinilah muncul satu simptom rabies yang paling terkenal iaitu takut air atau hydrophobia.

Sebenarnya, pesakit bukan sekadar takut air seperti kita takut sesuatu. Keradangan pada sistem saraf boleh menyebabkan kesukaran dan kekejangan ketika cuba menelan, sehingga melihat atau cuba minum air boleh mencetuskan episod yang sangat menyakitkan.

Apabila penyakit semakin teruk, fungsi penting badan turut terganggu. Dalam bentuk rabies yang dikenali sebagai furious rabies, kematian boleh berlaku selepas beberapa hari akibat kegagalan fungsi pernafasan dan jantung.

Ada juga bentuk paralytic rabies, di mana otot semakin lumpuh, pesakit boleh mengalami koma dan akhirnya meninggal dunia.

Yang paling penting, rabies sebenarnya boleh dicegah.

Jika seseorang digigit atau dicakar haiwan yang berpotensi dijangkiti, jangan tunggu muncul simptom. Luka perlu dibasuh dengan sabun dan air dengan segera dan mangsa perlu mendapatkan rawatan perubatan untuk penilaian serta rawatan pencegahan selepas pendedahan (post-exposure prophylaxis atau PEP).

Sebab apabila simptom klinikal rabies sudah muncul, penyakit ini hampir sentiasa membawa maut. Tetapi sebelum virus sampai ke sistem saraf pusat, rawatan selepas pendedahan boleh mencegah penyakit daripada berkembang.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.