Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengspotlite_master

Live Solat Aliff Syukri, Teguran Yang Kita Sama² Kena Dengar

Rakaman solat berjemaah Datuk Seri Aliff Syukri mencetuskan perdebatan tetapi di sebalik teguran netizen, ada perkara penting yang wajar kita renungkan bersama.

Kadang-kadang, perkara yang berlaku di media sosial boleh menjadi cermin untuk kita melihat semula diri sendiri. Begitulah apabila rakaman Datuk Seri Aliff Syukri mengimamkan solat Maghrib bersama anak-anaknya baru-baru ini mengundang pelbagai reaksi netizen.

Perhatian ramai tertumpu pada bacaan surah al-Kafirun yang ditegur kerana kesalahan bacaan dan sebutan. Ada yang mempersoalkan ketepatan tajwid serta makhraj huruf, manakala sebahagian yang lain menyuarakan kebimbangan tentang tanggungjawab seorang imam ketika memimpin solat berjemaah.

Aliff sendiri mengakui kekhilafannya dan memohon maaf selepas rakaman tersebut tular.

Namun, isu ini sebenarnya lebih besar daripada soal siapa yang betul atau siapa yang salah.

Dalam solat, bacaan bukan perkara yang boleh dipandang ringan. Kita mungkin sudah biasa mendengar ayat-ayat Al-Quran sejak kecil tetapi biasa mendengar tidak semestinya bermakna kita sudah betul-betul menguasai bacaannya.

Ada perbezaan antara mengenali sesuatu surah dengan membaca setiap hurufnya secara tepat, termasuk makhraj, panjang pendek dan hukum tajwid.

Sebab itulah belajar Al-Quran tidak sepatutnya terhenti selepas kita dewasa. Kalau ada bacaan yang masih kurang tepat, tidak salah untuk kembali berguru, memperbaiki sebutan dan meminta orang yang lebih arif menyemaknya.

Malah, mengakui kesilapan dan berusaha membetulkannya juga sebahagian daripada proses belajar.

Apabila seorang ayah mengimamkan solat bersama keluarga, dia bukan sekadar berdiri di hadapan untuk memimpin pergerakan solat. Dia turut menjadi antara contoh yang diperhatikan oleh anak-anaknya.

Sebab itu, eloklah kita mengambil peluang untuk menyemak semula bacaan sendiri dan memastikan ilmu asas solat sentiasa dipertingkatkan.

Bukan untuk mencari kesalahan sesiapa tetapi kerana ibadah ini terlalu penting untuk kita ambil mudah.

Pada masa sama, kita juga perlu berhati-hati sebelum membuat kesimpulan tentang kesahan solat seseorang hanya berdasarkan rakaman pendek. Kesalahan pada bacaan yang berbeza mempunyai implikasi hukum yang berbeza dan penilaian terperinci wajar dirujuk kepada guru agama yang berkelayakan.

Netizen berhak membincangkan perkara yang menyentuh kepentingan agama tetapi cara teguran itu disampaikan juga mencerminkan akhlak kita sendiri.

Kalau niatnya mahu seseorang memperbaiki bacaan, biarlah teguran itu membantu, bukannya sekadar menambah malu dan membuka ruang untuk orang ramai mengejek.

Hari ini kita melihat kesilapan orang lain. Esok, mungkin giliran kita pula ditegur atas kekurangan yang selama ini tidak kita sedari.

Jadi, apa kata kita jadikan isu ini sebagai peringatan untuk menyemak bacaan solat sendiri dan mengajak ahli keluarga belajar bersama?

Tujuan teguran bukan untuk membuktikan siapa paling pandai tetapi supaya kita semua menjadi lebih baik.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.