Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengfamili_master

Bagaimana Nak Bersuara Tanpa Anak Kena ‘Mark’ Oleh Guru?

Ibu bapa terpaksa berfikir berkali-kali sebelum menghantar mesej kepada guru. Bukan takut dimarahi tetapi takut anak yang terpaksa menanggung akibatnya.

Pernah tak ibu bapa berada dalam situasi serba salah apabila timbul sesuatu perkara melibatkan anak di sekolah?

Ada perkara yang kita rasa perlu dibangkitkan kepada guru. Mungkin anak mengadu tentang sesuatu, mungkin ada layanan yang dirasakan kurang adil atau mungkin ibu bapa sekadar mahu mendapatkan penjelasan.

Tetapi sebelum menghubungi guru, fikiran mula bercelaru.

Kalau bersuara, takut anak pula yang terkena tempias. Takut selepas itu anak mula dilabel sebagai budak bermasalah, anak kepada ibu bapa yang banyak komplen atau lebih teruk, layanan terhadapnya berubah.

Akhirnya, ada ibu bapa memilih untuk berdiam diri. Bukan kerana mereka tidak peduli tetapi kerana tidak mahu anak menanggung kesan daripada perkara yang dibangkitkan oleh orang dewasa.

Hakikatnya, ibu bapa bukan mahu mencari gaduh dengan guru. Mereka cuma mahu memastikan anak berada dalam persekitaran pembelajaran yang selamat, adil dan menyenangkan.

Pada masa sama, guru juga manusia. Mereka mempunyai tanggungjawab besar, berdepan pelbagai ragam murid dan tekanan kerja yang bukan sedikit. Sebab itu, komunikasi antara ibu bapa dan guru perlu dibina atas dasar saling menghormati.

Jika ada perkara yang mahu dibangkitkan, mulakan dengan bertanya dan mendapatkan penjelasan, bukannya terus membuat tuduhan. Sebaiknya, hubungi guru secara peribadi, ceritakan perkara yang berlaku berdasarkan fakta dan elakkan membincangkan isu sensitif dalam kumpulan WhatsApp kelas atau media sosial.

Namun ibu bapa juga perlu tahu bahawa bersuara secara berhemah bukan bermaksud perlu berkompromi dengan perkara yang menjejaskan kebajikan anak.

Jika perbincangan tidak membuahkan hasil atau isu yang dibangkitkan melibatkan perkara serius, ibu bapa boleh mendapatkan bantuan pihak pentadbir sekolah melalui saluran yang sewajarnya.

Paling penting, anak tidak sepatutnya menjadi mangsa kepada perbezaan pandangan antara ibu bapa dan guru.

Seorang guru yang profesional seharusnya mampu membezakan antara hubungan dengan ibu bapa dan tanggungjawab mendidik seorang murid. Begitu juga ibu bapa, perlu memberi ruang kepada guru untuk menjelaskan keadaan sebelum membuat kesimpulan.

Ingatlah, anak datang ke sekolah untuk belajar, membina keyakinan dan membesar sebagai insan. Mereka tidak sepatutnya menanggung kesan daripada apa yang pernah dibincangkan antara orang dewasa.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.