Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengsihat_master

Banyak Pendam Emosi Punca Sebenar Badan Kerap Sakit

Otak dan badan kita ni berkait rapat. Bila kita rasa terancam secara emosi, badan kita akan bertindak balas macam kita dalam bahaya.

Rasa badan ni penat je walhal takde buat apa-apa kerja berat? Kepala pening tanpa sebab, perut kembung, bahu tegang macam bawa beban seratus kilo, tapi bila pergi klinik, doktor cakap semua normal. Kalau pernah alami benda macam ni, boleh jadi bukan badan anda yang bermasalah, tapi hati anda yang dah lama tak dilayan.

Kita ni selalu diajar dari kecil untuk “kuat”, untuk “tahan”, untuk jangan nangis depan orang. Bila something sedih jadi, kita telan je. Bila kena marah, kita simpan. Bila hati luka sebab orang yang kita sayang buat perangai, kita senyum je depan mereka, lepas tu balik rumah baru nak lepaskan air mata dalam bilik sorang-sorang. Lama-lama, kita jadi pandai sangat pendam sampai kita sendiri pun dah tak perasan yang kita tengah “sakit”.

Masalahnya, emosi yang kita pendam ni takkan hilang macam tu je sebab kita tak nak fikir pasal dia. Dia akan cari jalan lain untuk keluar. Kalau tak keluar dalam bentuk air mata atau luahan, dia akan keluar dalam bentuk simptom fizikal. Sakit kepala yang datang bila stress. Gastrik yang naik bila korang rasa cemas. Insomnia sebab minda asyik berlegar fikirkan benda yang korang cuba lupakan. Malah ada kajian yang tunjuk orang yang selalu pendam emosi lebih mudah kena masalah jantung, tekanan darah tinggi, dan sistem imun pun jadi lemah.

Ini bukan cerita mistik ke apa, ini memang cara badan dan minda kita berfungsi. Otak dan badan kita ni berkait rapat. Bila kita rasa terancam secara emosi, contohnya rasa dikhianati, rasa tak dihargai, rasa kesunyian, badan kita akan bertindak balas macam kita dalam bahaya.Hormon stress macam kortisol akan naik, otot jadi tegang, sistem penghadaman terganggu. Kalau ni jadi sekali dua takpe, tapi kalau jadi bertahun-tahun sebab kita tak pernah luahkan atau selesaikan emosi tu, badan kita penat nak tanggung beban tu selama-lamanya.

Yang lagi menyedihkan, ramai antara kita yang dah biasa sangat dengan keadaan ni sampai kita ingat itulah “normal”. Kita ingat semua orang pun rasa macam ni je, penat sepanjang masa, resah tanpa sebab, susah nak senyum ikhlas. Padahal itu bukan normal, itu tanda yang hati kita dah lama merayu untuk didengar tapi kita tak bagi peluang.

Jadi apa yang boleh kita buat? Benda paling simple pun kadang paling susah nak start – berhenti sekejap, dan tanya diri sendiri, “aku ni sebenarnya rasa apa?” Bukan nak elak soalan tu dengan sibukkan diri buat kerja lain, tapi betul-betul duduk dengan perasaan tu. Kalau perlu nangis, nangis je. Kalau perlu cakap dengan orang yang dipercayai, cakaplah. Kalau rasa terlalu berat, jumpa je professional, sebab tak semua benda kita boleh selesaikan sorang-sorang, dan itu bukan tanda lemah, itu tanda kita sayangkan diri sendiri.

Badan kita ni setia sangat. Dia akan tanggung apa saja yang kita bagi, sampai satu tahap dia akan mula bercakap dengan cara yang kita tak boleh abaikan lagi. Jadi sebelum sampai ke tahap tu, cuba dengar dulu apa yang hati nak cakap. Sebab kadang-kadang, ubat yang paling kita perlukan bukan datang dari botol, tapi dari kejujuran kita dengan perasaan sendiri.

Meme gif. In an interview with a TV reporter, a little boy's smiling turns into crying, as he covers his face with his hands. Text, "I'm fine."

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.