Komuniti Digital Dewasa
00%

Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengspotlite_master

Bila AI Masuk Dunia Muzik: Penyanyi Perlu Ke Mana?

Lantaklah mesin nak buat lagu ke, lirik ke, tiru suara ke, tapi emosi tak pernah mampu diprogram...
Hala tuju penyanyi kini antara peluang dan kebimbangan.

Dulu untuk menjadi penyanyi kita perlukan suara, lagu, lirik, studio dan peluang. Sekarang kita perlukan satu lagi benda iaitu keberanian untuk berdepan dengan AI (artificial intelligence). Sebab hakikatnya, dunia muzik hari ini dah tak sama macam dulu. Dan ia agak membimbangkan.

AI kini boleh cipta melodi, tulis lirik, susun muzik, malah tiru suara penyanyi dengan hampir sempurna. Dalam satu klik, lagu siap! Sebagai penyanyi pasti bermain dalam fikiran, kalau mesin boleh buat semua ni, apa lagi peranan kita?

Dari satu sudut, AI memang nampak membantu. Penyanyi indie boleh buat demo tanpa kos mahal. Nak eksperimen genre pun jadi mudah. AI boleh jadi alat untuk cari ilham, jimat masa dan mudahkan kerja. Tak dinafikan teknologi ini memberi kelebihan besar terutamanya untuk mereka yang baru nak mula.

AI, ancaman atau alat bantu penyanyi?

Tapi dalam keseronokan itu ada rasa tak sedap yang susah nak dijelaskan. Muzik sepatutnya lahir daripada rasa seperti sedih, cinta, rindu, marah, gembira dan sebagainya. Bila lagu dicipta oleh mesin emosi itu jadi kosong. Mungkin sedap didengar tapi tak menyentuh. Persoalannya adakah pendengar akan terus peduli? Atau cukup sekadar lagu yang boleh viral?

Yang lebih menakutkan, AI kini boleh guna suara penyanyi tanpa izin. Identiti yang dibina bertahun-tahun boleh ditiru dalam sekelip mata. Suara bukan lagi milik mutlak penyanyi. Bila ini berlaku, sempadan antara kreativiti dan eksploitasi jadi kabur.

Berdiri teguh sebagai manusia di dunia muzik AI

Jadi ke mana hala tuju penyanyi selepas ini? Mungkin jawapannya bukan melawan AI tapi berdiri lebih kuat sebagai manusia. Pendengar mungkin boleh terima lagu AI tapi mereka masih mencari kejujuran. Persembahan live, cerita di sebalik lagu, suara yang meruntun jiwa kerana emosi. Semua itu tak boleh diprogramkan.

AI akan terus wujud malah semakin canggih. Tapi penyanyi yang jujur dengan seni, yang berani jadi diri sendiri dan yang membina hubungan sebenar dengan pendengar, masih ada tempat. Cuma realitinya, laluan itu kini lebih mencabar.

Dan mungkin itulah hakikat paling mencemaskan tentang dunia muzik hari in. Bukan AI yang mengambil alih tetapi manusia yang terpaksa berjuang lebih keras untuk kekal relevan.

Persembahan live konsert tak boleh digantikan oleh AI.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.