Dengar playlist penuh di sini
.
Setiap pagi adalah medan perang kecil buat para ibu. Bukan sebab kami bangun pagi dengan niat nak marah, apatah lagi nak jadi “singa”. Kami juga nak pagi yang tenang, penuh senyuman dan tutur suara yang lembut. Tapi realitinya, pagi waktu bersiap ke sekolah jarang memberi peluang itu.
Jam baru pukul 6.30 pagi. Mata masih separuh terbuka, kopi belum sempat dirasai. Tiba-tiba…
“Mak, stokin saya hilang.”
Hilang pulak dah? Semalam ada dua pasang. Pagi ni ghaib begitu sahaja. Ajaib betul, ek?
Belum habis isu stokin, datang pula bab beg sekolah. Sudah diingatkan malam tadi supaya kemas siap-siap. Jawapan klasik, “Nanti.” Dan seperti biasa, “nanti” itu bermaksud pagi esok. Buku bertaburan, alat tulis entah cukup entah tidak.
Belum sempat tarik nafas, satu lagi bom dijatuhkan.
“Mak, cikgu suruh bawa penutup kosong.”
“Atau manila kad.”
“Atau batang aiskrim.”
Dan semuanya diberitahu… pagi itulah. Masa itulah mak mula rasa darah naik ke kepala. Kenapa semua info penting muncul waktu paling sibuk?
Bab makan pun jangan dilupa. Masa tinggal 10–15 minit nak keluar rumah, anak makan dengan penuh kelembutan dan tertib tak ubah seperti pasangan penganti sedang makan beradab. Mak pula berdiri sebelah, mata asyik pandang jam, dengar hon kereta, dan emosi mula mendidih.
Percayalah, mak-mak tak minta jadi singa. Kami cuma bertindak balas dengan situasi. Bila terlalu banyak benda berlaku serentak seperti stokin hilang, beg belum kemas, barang cikgu minta baru bagitahu, anak makan selembut kapas, memang senang meletuplah dibuatnya.
Ironinya, lepas anak keluar rumah, mak pula yang termenung dan rasa bersalah. “Kenapalah aku marah-marah tadi sampai keluar saka singa aku?”
Pesanan seperti sediakan semua keperluan malam sebelumnya, semak bag dan whatsapp group kelas sebelum tidur, kunci jam lebih awal sedikit dah lama diruqyah pada telinga anak-anak. Tak tau mana silapnya pasti ada je yang gagal pada keesokan pagi.
Jom kita latih anak untuk rasa pagi tu tanggungjawab bersama, bukan sekadar rutin mak.
Bila mereka sudah mula bangun tanpa drama, makan tanpa perlu dikejar atau ingat sendiri apa yang cikgu minta, mak sebenarnya wajar raikan usaha itu.
Tak perlu hadiah besar. Kadang cukup dengan ayat,
“Bagus hari ni, mak suka.”
Atau satu sticker comel.
Atau hak pilih menu hujung minggu.
Nak lagi rewarding? Okaylah kita bagi dia main ipad sampai lebam (gurau je ni, wajib letak had masa ye)
Bila anak rasa pagi yang tenang itu ada ganjarannya, mereka mula faham kenapa mak selalu kejar masa. Dari situ, pagi tak terus jadi sempurna tapi sekurang-kurangnya tak perlu setiap hari mak bertukar jadi singa.
Mak-mak bukan singa tau. Kami cuma manusia biasa yang cuba mengurus pagi yang huru-hara dengan sebaik mungkin. Kalau suara naik sikit, itu bukan tanda kurang sabar, itu tanda terlalu banyak yang perlu dibereskan dalam masa yang singkat.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.