Dengar playlist penuh di sini
.

Sebaik sahaja pulang dari sekolah, ramai remaja pada awal era Facebook mempunyai satu rutin yang hampir sama … membuka komputer, log masuk ke Facebook dan memastikan ladang maya mereka tidak terbiar begitu sahaja.
Sekitar tahun 2009 hingga 2012, dunia digital menyaksikan satu fenomena yang mungkin sukar difahami oleh generasi hari ini. Sebelum permainan mudah alih menjadi hiburan utama, Facebook bukan sekadar tempat berkongsi gambar atau berbual dengan rakan. Ia juga menjadi pintu masuk kepada dunia permainan maya yang berjaya mencuri masa jutaan pengguna.
Walaupun tidak menawarkan grafik canggih seperti permainan moden, FarmVille dan Pet Society berjaya mencipta sesuatu yang lebih kuat .. hubungan emosi antara pemain dan dunia digital yang mereka bina sendiri.
FarmVille menjadi antara permainan Facebook paling popular pada zamannya. Konsepnya mudah… pemain perlu menanam tanaman, menjaga haiwan ternakan, memperluaskan kawasan ladang dan berinteraksi dengan rakan Facebook yang menjadi jiran dalam permainan.
Namun di sebalik konsep ringkas itu, terdapat satu elemen yang membuatkan pemain sukar meninggalkannya. Setiap tanaman mempunyai tempoh masa tertentu untuk dituai. Jika terlambat, hasil tanaman boleh rosak atau terbiar.
Bagi sesetengah pemain, FarmVille bukan sekadar permainan. Ada yang sanggup memasang peringatan supaya tidak terlepas waktu menuai, malah ada yang meminta bantuan rakan untuk menjaga ladang ketika mereka tidak dapat mengakses komputer.
Pada ketika itu, menjaga ladang maya terasa seperti satu tanggungjawab sebenar. Walaupun hanya dunia digital, usaha yang dicurahkan tetap memberikan kepuasan apabila ladang semakin besar dan kelihatan lebih menarik.
Jika FarmVille memberikan pengalaman mengurus dan membina, Pet Society pula menyentuh sisi emosi pemain.
Dalam permainan ini, setiap pengguna memiliki haiwan peliharaan digital yang perlu dijaga, diberi makan, dimandikan dan dihiasi dengan pelbagai pakaian serta aksesori. Rumah haiwan tersebut juga boleh dihias mengikut kreativiti pemiliknya.
Bagi kanak-kanak yang mungkin tidak dibenarkan memelihara haiwan sebenar, Pet Society menjadi ruang untuk merasai pengalaman menjaga seekor “haiwan peliharaan” sendiri.
Nama diberikan dengan penuh perhatian. Pakaian dipilih mengikut citarasa. Rumah pula dihias supaya kelihatan lebih menarik apabila dikunjungi oleh rakan lain.
Pada zaman itu, melihat haiwan peliharaan digital milik sendiri kelihatan lebih comel atau rumah maya lebih cantik daripada rakan lain memberikan satu rasa bangga yang sukar dijelaskan.
Apabila permainan seperti Pet Society dihentikan operasinya pada tahun 2013 dan FarmVille pula melalui perubahan besar sehingga versi asalnya berakhir pada 2020, ramai pemain lama merasakan kehilangan yang lebih besar daripada sekadar sebuah permainan.
Bagi mereka, ia adalah sebahagian daripada zaman membesar.
Ia mengingatkan kembali kepada era ketika internet masih terasa lebih sederhana. Hiburan digital bukan hanya tentang mengejar kemenangan atau bersaing dengan pemain seluruh dunia tetapi tentang berinteraksi dengan rakan sendiri dan mencipta sesuatu bersama-sama.
Hari ini, Facebook mungkin tidak lagi menjadi pusat hiburan digital seperti dahulu. Namun bagi mereka yang pernah menunggu masa tanaman dituai atau menjaga haiwan maya setiap hari, FarmVille dan Pet Society akan sentiasa menjadi simbol sebuah zaman yang pernah membuat dunia digital terasa lebih dekat.
Kadangkala, permainan yang paling diingati bukanlah yang mempunyai grafik paling hebat tetapi permainan yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan kita.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.