Dengar playlist penuh di sini
.

Pernah tak anda rasa penat yang sukar dijelaskan?
Kerja rumah belum siap, anak-anak perlukan perhatian, telefon pula tidak berhenti berbunyi dengan pelbagai mesej dan tugasan. Akhirnya, walaupun badan masih mampu bergerak, fikiran terasa seperti sudah “tepu”. Ada yang sampai mudah marah, cepat menangis atau hilang motivasi melakukan perkara yang sebelum ini dianggap biasa.
Ramai menyangka keadaan itu berlaku kerana terlalu banyak kerja. Sebenarnya, bukan kerja semata-mata yang membuatkan kita berasa drained tetapi cara tubuh bertindak balas terhadap tekanan yang berterusan.
Apabila seseorang berada dalam keadaan tertekan, tubuh akan mengaktifkan tindak balas yang dikenali sebagai “fight or flight”. Ia merupakan mekanisme semula jadi yang membantu kita menghadapi ancaman atau situasi mencemaskan.
Masalahnya, dalam kehidupan moden, ancaman itu bukan lagi seekor harimau atau bahaya fizikal. Sebaliknya, ia boleh datang dalam bentuk tekanan kerja, beban mengurus rumah tangga, masalah kewangan atau rutin harian yang tidak pernah berhenti.
Apabila keadaan ini berlarutan tanpa ruang untuk berehat, tubuh dan minda boleh mula menunjukkan pelbagai isyarat. Antaranya sukar memberi tumpuan, cepat letih, mudah beremosi, sukar tidur dan hilang semangat melakukan aktiviti harian.
Sebab itu, setiap wanita perlu belajar satu kemahiran yang sering dipandang remeh, iaitu memberi “signal” kepada otak bahawa keadaan sudah kembali selamat dan tubuh boleh berehat.
Ia tidak semestinya memerlukan percutian panjang atau tidur sepanjang hari. Kadangkala, beberapa minit menarik nafas secara perlahan, berjalan seketika, berzikir, melakukan regangan ringan atau menikmati secawan minuman tanpa gangguan sudah cukup membantu tubuh beralih daripada keadaan tegang kepada lebih tenang.
Bagi wanita Muslim, meluangkan masa untuk solat dengan penuh khusyuk, berzikir atau membaca al-Quran juga boleh menjadi ruang untuk menenangkan hati dan memberi ketenangan kepada diri selepas melalui hari yang sibuk.
Yang penting, jangan tunggu sehingga badan benar-benar “overheat” barulah mahu berehat.
Suri rumah bukan mesin. Wanita yang bekerja juga bukan robot. Semua orang mempunyai had fizikal dan emosi.
Menjaga diri bukan tanda kita lemah atau malas. Sebaliknya, ia adalah salah satu cara untuk memastikan kita terus mempunyai tenaga dan emosi yang cukup bagi menjaga keluarga, menyelesaikan tanggungjawab dan menjalani kehidupan dengan lebih baik.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.