Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengspotlite_master

Hak Haiwan Vs Keselamatan Awam, Mana Lebih Penting?

Ada yang terpaksa menerima beberapa suntikan rabies, menjalani rawatan dan menanggung trauma yang berpanjangan.

Isu anjing liar kembali menjadi perbualan hangat selepas beberapa kes melibatkan pejalan kaki diserang dan dikejar. Setiap kali ada laporan mengenai pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan menangkap anjing liar, pasti akan muncul suara-suara yang mengecam. Ada yang mengatakan tindakan itu tidak berperikemanusiaan, kejam dan menindas haiwan yang tidak bersalah. Memang betul, haiwan juga berhak mendapat layanan yang baik. Tetapi dalam kita mempertahankan hak haiwan, jangan pula kita terlupa hak manusia untuk berjalan dengan selamat di kawasan awam.

Cuba letakkan diri sebagai seorang ibu atau bapa yang menghantar anak berjalan kaki ke sekolah. Setiap pagi, anak terpaksa melalui sekumpulan anjing liar yang berkeliaran di tepi jalan. Walaupun tidak semua anjing akan menyerang, cukup sekadar mereka menyalak dan mengejar sudah cukup membuatkan seorang kanak-kanak trauma. Ketakutan itu bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan. Ada kanak-kanak yang akhirnya takut berjalan kaki, takut bermain di taman dan lebih rela terperuk di rumah kerana pengalaman dikejar anjing.

Cuba pula jadi seorang pejalan kaki yang pulang dari kerja pada waktu malam. Dalam keadaan penat, tiba-tiba sekumpulan anjing mengejar dari belakang. Ketika itu, siapa yang tidak panik? Siapa yang sempat berfikir sama ada anjing itu sekadar mahu bermain atau benar-benar mahu menyerang? Naluri manusia apabila berdepan situasi seperti itu hanyalah satu, iaitu menyelamatkan diri. Lebih menyedihkan apabila sudah ada mangsa yang mengalami kecederaan serius akibat digigit. Ada yang terpaksa menerima beberapa suntikan rabies, menjalani rawatan dan menanggung trauma yang berpanjangan.

Sebab itu, sebelum mengecam orang yang membuat laporan kepada pihak majlis perbandaran, cubalah fahami situasi mereka terlebih dahulu. Kebanyakan orang tidak membuat laporan kerana membenci haiwan. Mereka membuat laporan kerana takut. Takut keselamatan diri terancam.

Istilah “pencinta haiwan” juga sepatutnya membawa maksud yang lebih besar daripada sekadar mengkritik di media sosial. Jika benar-benar sayangkan haiwan, tunjukkan melalui tindakan. Lancarkan kempen pemvaksinan, program pemandulan, inisiatif mengambil anjing jalanan sebagai haiwan angkat atau kutipan dana untuk pusat perlindungan haiwan. Bekerjasamalah dengan NGO dan pihak berkuasa tempatan untuk mencari penyelesaian yang lebih mampan. Itu jauh lebih bermakna daripada sekadar menaip komen panjang menyalahkan orang yang membuat aduan.

Realitinya, isu anjing liar bukan sekadar isu kebajikan haiwan. Ia juga isu keselamatan awam. Kedua-duanya perlu diseimbangkan. Kita tidak boleh hanya melihat dari satu sudut sahaja. Hak haiwan perlu dipelihara, tetapi hak manusia untuk menggunakan jalan raya, taman permainan dan kawasan perumahan tanpa rasa takut juga tidak boleh diketepikan.

Empati bukan hanya untuk haiwan, tetapi juga untuk manusia. Sebelum kita menghukum seseorang kerana membuat laporan mengenai anjing liar, cubalah bayangkan jika yang dikejar itu anak kita sendiri. Jika yang digigit itu ibu bapa kita. Jika yang trauma itu ahli keluarga kita. Mungkin ketika itu kita akan faham bahawa tindakan membuat laporan bukan kerana benci, tetapi kerana mereka mahukan satu perkara yang sangat asas iaitu rasa selamat ketika berada di ruang awam.

Kalau benar kita mahu menjadi masyarakat yang prihatin, jangan hanya lantang mempertahankan satu pihak. Jadilah sebahagian daripada penyelesaian. Jika mengaku pencinta haiwan, buktikan dengan usaha yang boleh mengurangkan populasi anjing liar secara berhemah dan berkesan. Jangan sekadar berkata-kata di media sosial, tetapi tampil membantu. Kerana menjaga kebajikan haiwan dan menjaga keselamatan manusia bukanlah dua perkara yang saling bercanggah, sebaliknya kedua-duanya boleh berjalan seiring jika semua pihak sanggup memainkan peranan.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.