Dengar playlist penuh di sini
.
Telur jadi kambing hitam
Kesian telur. Selalu jadi mangsa tuduhan, kononnya punca kolesterol naik, jantung terancam dan macam-macam lagi. Padahal telur tak bersalah pun. Yang selalu buat keadaan jadi tak sihat tu adalah cara kita makan telur, bukan telur itu sendiri.
Hero murah, nutrisi padu.
Telur ialah antara makanan paling padat nutrisi yang mudah didapati. Dalam sebiji telur ada protein berkualiti tinggi, vitamin B12, vitamin D, selenium, dan kolin iaitu nutrien penting untuk fungsi otak dan saraf. Sebab itu telur selalu jadi hero bila orang nak makan lebih kenyang, kurangkan snek manis, atau nak pilihan ringkas yang berkhasiat. Murah, cepat masak, dan boleh masuk dalam macam-macam menu.
Isu kolesterol yang ramai salah faham.
Bila sebut pasal telur, isu paling popular selalunya mesti tentang kolesterol. Ramai masih berpegang pada tanggapan lama iaitu kolesterol dalam telur tinggi, jadi makan telur mesti naikkan kolesterol darah. Sebenarnya kolesterol dalam makanan tidak memberi kesan seteruk lemak trans, gula berlebihan, makanan diproses tahap tinggi dan gaya hidup kurang bergerak. Malah badan kita ada sistem kawalan yang mana bila kita ambil kolesterol dari makanan, badan boleh kurangkan penghasilan kolesterol sendiri. Sebab tu seperti yang pernah diterangkan oleh Dr Zamir Hilman iaitu doktor perubatan yang juga aktif berkongsi ilmu kesihatan di media sosial, fokus yang lebih tepat ialah keseluruhan corak pemakanan dan gaya hidup, bukan semata-mata menuding jari pada telur. [kepada yang masih clueless, Dr. Zamir kini bergelar suami kepada penyanyi Sissy Iman. Selamat pengantin baru Doc!]
Yang salah bukan telur tapi menu sekeliling.
Yang selalu merosakkan nama telur adalah cara ia disediakan dan apa yang menemani telur dalam pinggan. Telur rebus, telur kukus, telur separuh masak, atau telur dadar dengan sedikit minyak biasanya pilihan yang baik. Tapi bila telur digoreng garing dengan minyak yang banyak, kemudian dimakan pula dengan sosej, daging proses, roti putih dan air manis…haa time ni lah telur akan tetap dipersalahkan walaupun dia cuma berada di tempat kejadian. Realitinya gabungan itulah yang lebih bermasalah.
Kalau nak telur jadi betul-betul makanan paling sihat, pastikan dia berkawan dengan makanan yang betul. Padankan dengan sayur , tambah sedikit serat, dan seimbangkan dengan buah atau air kosong. Ringkas tapi cukup matang dari segi nutrisi. Kita juga akan rasa lebih kenyang dan kurang keinginan untuk mengunyah benda manis selepas makan.

Akhir kata buat telur.
Kesimpulannya mudah, telur bukan musuh. Telur ialah makanan sebenar yang kaya nutrisi dan untuk kebanyakan orang ia boleh jadi sebahagian diet sihat. Janganlah hukum telur hanya kerana dia sering muncul dalam menu yang salah. Betulkan konteks, betulkan cara masak, dan barulah kita nampak telur sebenarnya di pihak yang tak bersalah.
Sorry telur, we love you!
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.