Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengapasaja_master

Ventriloquism Seni Suara Unik Yang Uji Psikologi Penonton

Bukan patung yang bersuara tapi otak kita yang tertipu. Kenali ventriloquism, seni suara unik yang boleh dipelajari.

Apa itu ventriloquism?

Pernah tak tengok orang yang berkebolehan bercakap tanpa menggerakkan bibir namun suara jelas kedengaran? Inilah yang dipanggil ventri atau istilah penuhnya ialah ventriloquism. Ini adalah seni kemahiran yang cukup unik. Kebolehan yang membuatkan orang percaya suara itu bukan datang daripada mulut kita, walhal sebenarnya memang suara kita. Mereka yang berkebolehan sebegini dipanggil ventriloquist.

Orang dulu-dulu salah faham tentang ventriloquist. Ramai ingat mereka ni betul-betul bercakap dari perut sebab perkataan ventriloquism pun pada asalnya memang bermaksud ‘perut yang bercakap’. Realitinya suara tetap datang daripada tekak dan kotak suara. Cuma teknik kawalan mulut, nafas, dan fokus penonton yang membuatkan ilusi tu hidup.

Teknik kunci bibir.

Jadi macam mana sebenarnya orang boleh bercakap tanpa terlalu gerakkan bibir? Bukan magik tapi latihan yang bukan biasa-biasa.

Untuk menjadi seorang ventriloquist, mula-mula kena belajar ‘kunci’ bibir. Maksudnya memastikan bibir nampak relax, mulut mungkin terbuka sedikit sahaja tapi suara berbicara masih kedengaran. Ia perlukan kawalan otot muka yang halus sebab muka manusia ini auto bergerak bila bercakap.

Helah Otak: Tukar Bunyi Tapi Masih Difahami

Cabaran seterusnya adalah huruf-huruf yang memang perlukan gerak-geri bibir bila disebut. Contohnya B, P, M… tiga huruf ini biasanya memerlukan kita merapatkan kedua-dua bibir atas dan bawah. Di sinilah kreativiti seseorang itu diperlukan. Bunyi huruf-huruf susah itu akan diubah kepada bunyi lain yang lebih mudah disebut tanpa bibir dirapatkan tetapi masih boleh difahami. Dan oleh sebab otak kita terlatih untuk melengkapkan sesuatu makna, maka ayat itu tetap kedengaran betul terutama bila konteks ayat itu kuat.

Ventriloquism = Suara + Lakonan + Timing + Psikologi

Namun bahagian paling power sebenarnya ialah fokus penonton. Bila patung atau boneka yang sering digunakan oleh ventriloquist bergerak seperti mata menjeling tepat, kepala mengangguk kena timing, mulut patung terbuka ikut rentak, otak kita terus setuju: “Haahlah, patung itu yang bercakap.” Padahal ventriloquist secara halus sedang mengawal nada, menukar karakter, menjaga pernafasan, dan pada masa yang sama mengawal perhatian penonton.

Bukan boneka yang bercakap tapi hampir semua percaya.

Sesiapa pun boleh buat asalkan konsisten berlatih.

Sebab itu ventriloquism bukan sekadar bermain dengan suara. Ia gabungan kemahiran vokal, lakonan, timing dan psikologi perhatian. Dan sebenarnya kalau rajin, seni ini boleh dipelajari oleh sesiapa pun. Mula-mula memang terasa pelik dan keras, tetapi lama-lama boleh jadi makin lancar sampai orang lain pun tertanya-tanya: “Eh, macam mana dia buat ek?”

Ingat! Bukan patung yang bercakap tapi otak kita yang sedang tertipu oleh seni yang sangat kemas dan halus.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.